ASSYAKIRIN bangkit semula daripada tempoh sukar pandemik Covid-19 dengan menjual aneka perisa rempeyek dengan jenama Mama Keen Empire. FOTO ihsan Assyakirin Abas

Batu Gajah: Pernah diuji perniagaan katering miliknya ‘lumpuh’ akibat pandemik Covid-19 empat tahun lalu, wanita ini tidak patah semangat sebaliknya rela menjual rempeyek demi kelangsungan hidup.

Mula beroperasi di rumahnya di Batu Gajah, beliau kini mampu memiliki kilang di Siputeh di sini, selain produknya berjaya menembusi dan terpampang di lebih 800 Kedai MESRA di stesen minyak PETRONAS di seluruh Semenanjung.

Pengasas dan pemilik Mama Keen, Assyakirin Abas, 42, berkata, dirinya tidak mungkin melupakan detik sukar semasa menempuh tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa perniagaan katering diusahakannya sejak 2009 terhenti, sekali gus mengakibatkannya hilang mata pencarian.

“Kita mula PKP pada 18 Mac 2020, kebetulan saya ada stok ikan bilis yang banyak disebabkan tempahan katering terpaksa dibatalkan.

“Saya buat rempeyek kacang dan ikan bilis menggunakan resipi sendiri dan iklankan dalam kumpulan WhatsApp taman untuk mencuba nasib, alhamdulillah mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Sedikit demi sedikit keuntungan diperoleh, saya pelbagaikan perisa rempeyek selain kacang dan ikan bilis, ada 20 jenis perisa antaranya rempeyek daun limau purut, rempeyek daun kari, rempeyek pedas berapi dan rempeyek udang kering,” katanya.

Ibu empat cahaya mata itu berkata, variasi perisa juadah ranggup itu memikat ramai pelanggan dari dalam mahupun luar Perak untuk membeli sebaik produknya dipromosikan di platform e-dagang, Shopee serta media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Mengakui tiada latar belakang perniagaan, Assyakirin berterima kasih kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang menawarkan pelbagai kursus latihan secara percuma yang membantu beliau menguruskan pengoperasian syarikat seperti pengendalian pekerja dan pengaliran keluar masuk wang.

Tambahnya lagi, STeP juga menganjurkan kursus pengendalian makanan yang membolehkan Mama Keen mendapat pengiktirafan HALAL daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan serta sijil Kelulusan Penandaan Logo Barangan Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Menerusi agensi usahawan kerajaan negeri itu, saya juga berpeluang menyertai Malaysia Fest 2023 di Singapura pada Julai tahun lalu dan Halal Festival di negara sama pada Disember lalu. Ia menjadi peluang berharga untuk Mama Keen meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa,” katanya yang memiliki 15 pekerja.

STeP adalah antara peneraju segmen 1 Keluarga 1 Usahawan menerusi flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, perjanjian perniagaan yang ditandatangi beliau bersama PETRONAS membolehkan Mama Keen memasarkan produk rempeyek di lebih 800 Kedai MESRA milik syarikat itu di seluruh Semenanjung Malaysia sejak April tahun lalu.

“Selepas kerjasama ini, kami mampu menjual antara 30,000 hingga 50,000 balang rempeyek 400 gram setiap bulan, berbanding hanya 5,000 ke 10,000 balang sebelum ini.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan untuk mendapatkan tempat bagi memasarkan produk rempeyek ke stesen minyak jenama Shell dan Petron bagi menggandakan lagi pendapatan syarikat,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online