Datuk Seri Saarani Mohamad
IPOH, 18 Mei- Kerajaan Perak akan menambah baik Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi memastikan pelan berkenaan sentiasa berada di landasan tepat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan sosioekonomi negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata antara penambahbaikan tersebut termasuk penambahan tiga agenda baharu kepada enam agenda sedia ada.
Jelas beliau, perincian berhubung perkara berkenaan akan diumum pada Majlis Pelaburan Tahunan Perak Sejahtera 2030 di Manjung pada 15 Jun depan.
“Dia adalah satu pelan yang dinamik, jadi jika ada perkara-perkara yang perlu kita ubah suai, kita akan ubah suai, yang mana perkara-perkara yang ‘slow’, kita akan cuba pertingkatlah.
“Kita akan buat program ‘report card’ Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya kepada pemberita bersempena Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Perak 2024 di sini.
Tambahnya, usaha menambah baik pelan pembangunan negeri hasil program permukiman kerajaan negeri yang diadakan di Sabah pada Februari lalu.
Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada Jun 2022, sebagai garis panduan bagi pembentukan dasar, inisiatif dan agenda utama negeri bagi tahun 2022 hingga 2030.
Di bawah pelan berkenaan, sebanyak enam agenda digariskan, antaranya Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital dan Pembuatan Keputusan Dipacu Data.
Sumber : Berita RTM Online