Oleh MEDIA MULIA
IPOH: Terletak antara Selangor dan Pulau Pinang, kedudukan Perak cukup strategik untuk muncul sebagai satu lagi negeri yang menawarkan tanah luas bagi para pelabur bertapak.
Terdapat empat taman perindustrian baharu diketengahkan di Perak iaitu Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Taman Bersepadu Ipoh Raya: Taman Bersepadu Generasi Baharu dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) yang juga kawasan perindustrian berimpak tinggi di Kerian.
Perancangan tersebut disambut positif oleh firma-firma penganalisis ekonomi yang menyatakan keyakinan terhadap fungsinya mampu menarik minat pemaju dan memberi kesan limpahan ke atas kawasan-kawasan sekitar, khususnya kawasan perindustrian berteknologi tinggi baharu di Kerian, utara Perak.
Dari sudut hartanah, Maybank Investment Bank Bhd berkata, ia akan memanfaatkan pemaju yang terlibat dalam projek taman perindustrian kerana permintaan dan penjualan hartanah sedemikian telah mendapat momentum sejak April 2022, terutama selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa.
“Kami menjangkakan momentum jualan yang kukuh ini berterusan sehingga 2024, didorong oleh peningkatan lencongan pelaburan dari China berikutan perang perdagangan AS-China yang berterusan.
“Di tempat lain, tesis pelaburan kami saham hartanah dengan pendedahan kepada Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang kekal, menjelang pengumuman berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura pada akhir Oktober/November 2023, dan penjajaran akhir LRT Pulau Pinang menjelang awal- 2024,” kata bank itu dalam nota baru-baru ini.
RHB Investment turut menyatakan sentimen yang sama mengenai projek baharu di Kerian, utara Perak dengan berkata, inisiatif itu bakal menggalakkan pertumbuhan pasaran perumahan di kawasan sekitar.
“Eco World Development dan Tambun Indah merupakan pemaju yang mempunyai projek di selatan Seberang Perai. Sepanjang tahun depan hingga dua, kami menjangkakan beberapa pemaju meneroka peluang menambah pembelian tanah di situ,” tambahnya.
Semua ini adalah petunjuk jelas bahawa kerajaan memberi perhatian kepada Perak pada masa hadapan dan kini kerajaan dilihat cuba menerapkan konsep perindustrian di Perak, sekaligus memberi faedah kepada penduduk setempat dari sudut ekonomi dan sosial.
Penganalisis ekonomi, Dr. Shawal Sahid Hamid @ Hussain menjelaskan, faktor pusat perindustrian di Selangor dan Pulau Pinang antara faktor utama mendorong pembangunan di kedua-dua negeri dan kini kerajaan dilihat cuba mengaplikasikan konsep sama di Perak.
Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pelan atau perancangan pembangunan Perak haruslah diiringi dengan insentif dan galakan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi menarik pelaburan masuk ke negeri Perak.
“Ini khususnya bagi sektor ekonomi yang mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan seperti sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan termasuk pelancongan diperlukan dari masa ke semasa.
“Oleh itu, kewujudan pembangunan industri baru yang diperkatakan baru-baru ini mampu menyuntik impak positif terhadap persekitaran setempat di Perak. Ia juga mampu menyuntik kemasukan ekonomi baru di Perak dengan secara tidak langsung membentuk ekosistem ekonomi baru seperti industri kecil dan sederhana,” katanya baru-baru ini.
Shawal turut melihat bahawa perancangan pusat perindustrian itu sebagai pemangkin penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan fasiliti di Perak sejajar dengan pembangunan yang diwujudkan.
“Ia akan membantu peningkatan daya saing dalam sektor perniagaan dengan adanya peningkatan kuasa membeli dapat memacu Perak ke arah negeri yang lebih maju,” ujar beliau.
Pengumuman kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2024 bagi membina ekosistem lebih luas bagi kluster elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah utara menerusi pembukaan KIGIP selari dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030, di mana sebanyak 51,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan di Perak dalam tempoh 10 tahun.
“Rangkaian ekonomi dan produk industri hiliran yang berasaskan sumber-sumber dari sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga perlu dipelbagai dan diperluaskan dengan aplikasi teknologi moden yang mampu meningkatkan nilai sumbangan sektor ekonomi primer,” kata beliau.
Ditanya mengenai impak pusat perindustrian ke atas nilai hartanah di Perak, Shawal berkata dengan pertambahan kemasukan ke negeri Perak, ia pastinya akan meningkatkan permintaan perumahan di Perak seterusnya akan meningkatkan nilai hartanah di Perak.
“Melalui pembangunan industri baru ini juga mampu menarik pelabur asing dan juga tempatan untuk menjadikan kawasan hab baru perindustrian di Perak,” ujar beliau lagi.
Sumber : Utusan Malaya Online