Saarani Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta pada Majlis Pelancaran Program Pemuliharaan Biodiversiti AEON Credit di Taman Alam Kinta di Kampar hari ini. -Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

KAMPAR – Kerajaan negeri Perak setakat ini telah berjaya menanam sebanyak 7.88 juta pokok setakat ini melebihi sasaran 6 juta pokok iaitu pada nisbah 2 juta pokok setahun sejak 2021.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tempoh pelaksanaan bagi program penghijauan selama lima tahun bermula pada tahun 2021.

“Kempen ini digiatkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak. Sasaran dua juta pokok setahun. Kita bermula pada 2021 dan sudah capai 7.88 juta pokok iaitu melebihi yang sepatutnya.

“Saya yakin hasrat untuk mencapai 100 juta pokok akan tercapai,” katanya pada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pemuliharaan Biodiversiti (Afforestation) AEON Credit di Taman Alam Kinta di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa dan menjaga kelestarian tiga taman negeri berpotensi tinggi untuk pelancongan bercirikan semulajadi dan kaya dengan flora dan fauna iaitu Taman Negeri Royal Belum (Gerik), Taman Negeri Pulau Sembilan (Lumut) dan Taman Alam Kinta di Kampar.

Sumber : Kosmo Digital Online