JENAZAH Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi tiba di rumah keluarganya di Taman Bunga Tanjong. FOTO Aswadi Alias
Sitiawan: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak menyediakan khidmat kaunseling kepada tiga keluarga mangsa nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, tiga keluarga terbabit adalah keluarga mangsa yang berada di negeri ini.
“Dua keluarga iaitu keluarga Pegawai Waran II Noorfarahimi Mohd Saedy di Selama dan Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi di Lekir, di sini sudah diberikan kaunseling.
“Manakala pihak JKM juga sudah bertemu keluarga seorang lagi mangsa iaitu Leftenan T Sivasutan petang ini tetapi sesi kaunseling belum diberikan lagi,” katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga Mohd Shahrizan di sini, hari ini.
Katanya, situasi ini memerlukan sokongan moral yang kukuh untuk keluarga yang kehilangan insan tersayang apatah lagi ia membabitkan nahas seumpama itu.
“Kita turun berjumpa keluarga sebagai pendekatan awal untuk melihat keadaan keluarga selain membuat lawatan susulan. Sesi kaunseling itu juga akan diberikan mengikut keperluan dan keadaan keluarga terbabit.
“Bantuan tabung wang segera kepada tiga keluarga (di Perak) juga sudah diserahkan selain sumbangan daripada kerajaan negeri dan kita juga akan melihat keperluan lain dari masa ke semasa,” katanya.
Semalam, negara dikejutkan dengan nahas berkenaan yang berlaku ketika dua helikopter menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut.
Seramai 10 pegawai dan anggota terkorban dalam nahas itu.
Sumber : Harian Metro Online