Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (empat kiri) menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 penerima di Parit Buntar, hari ini. – Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
PARIT BUNTAR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan sebuah lagi lebuh raya baharu sudah didaftarkan di Kementerian Kewangan untuk dibangunkan di negeri ini.
Beliau berkata, lebuh raya dari Tanjung Malim ke Lumut itu adalah antara 10 projek disenaraikan untuk dilaksanakan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Perak baru-baru ini.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan dijangka bermula serentak dengan pembangunan AHTV di Tanjung Malim dan ia akan mengambil masa.
Katanya, setakat ini belum ada perincian membabitkan jajaran dan jarak lebuhraya berkenaan.
“Cadangan lebuh raya itu dibuat sebagai perancangan jangka panjang apabila Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) beroperasi untuk memudahkan pengangkutan logistik ke Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
“Pertama, kita senaraikan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Kerian manakalala kedua ialah projek lebuhraya Tanjung Malim – Lumut.
“Jadi produk-produk yang dihasilkan di AHTV akan dihantar ke LUMiC untuk eksport dan kita sedang perkasakan pelabuhan Lumut itu,” katanya selepas merasmikan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 peserta yang juga penduduk setinggan di rizab Sungai Kerian.
Semua penerima akan ditempatkan di pangsapuri dibina secara usaha sama antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dan Bumi Johan Sdn Bhd yang juga anak syarikat Asiabina.
Mengenai Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt , Saarani berkata perasmian ladang solar milik syarikat Asiabina itu adalah detik penting dalam menyokong penggunaan tenaga bersih dan lestari di negeri ini.
Katanya, ia adalah langkah awal menjadikan daerah Kerian sebagai hab pembangunan teknologi tinggi dan hijau selari dengan rancangan kerajaan dalam membangunkan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).
Sumber : Berita Harian Online