Saarani berkata, lebuh raya berkenaan merupakan salah satu projek yang disenaraikan untuk perhatian Kementerian Kewangan bagi dilaksanakan di negeri ini. – Gambar fail
PARIT BUNTAR: Selepas projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng-Kuala Kangsar diluluskan, Kerajaan Perak mendaftarkan projek lebuhraya baharu menghubungkan Tanjung Malim ke Lumut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, lebuh raya berkenaan merupakan salah satu projek yang disenaraikan untuk perhatian Kementerian Kewangan bagi dilaksanakan di negeri ini.
Menurutnya, cadangan itu adalah rancangan jangka panjang apabila Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) beroperasi untuk memudahkan pengangkutan logistik ke Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
“Kita ada 10 projek yang kita senaraikan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Perak baru-baru ini.
“Pertama kita senaraikan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Kerian dan kedua ialah projek lebuh raya Tanjung Malim-Lumut.
“Jadi produk-produk yang dihasilkan di AHTV akan dihantar ke LUMiC untuk eksport dan kita akan perkasakan pelabuhan Lumut itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air di sini, hari ini.
Menurut Saarani, pelaksanaan projek tersebut akan mengambil masa dan dijangka bermula bersama-sama pembangunan AHTV di Tanjung Malim.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada sebarang perincian melibatkan jajaran dan jarak lebuh raya berkenaan.
Sementara itu, Saarani berkata, perasmian ladang solar milik syarikat Asiabina Solar itu merupakan detik penting dalam menyokong penggunaan tenaga bersih dan lestari di Perak.
Menurutnya, ia adalah langkah awal menjadikan daerah Kerian sebagai hab pembangunan teknologi tinggi dan hijau sebagaimana rancangan kerajaan dalam membangunkan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).
“Ladang solar berkapasiti 50MW ini mampu menjana tenaga hijau untuk 25,000 isi rumah setahun, mengurangkan 100,000 tan pelepasan karbon dioksida dan menjimatkan penggunaan elektrik setiap tahun.
“Ia selaras dengan Agenda Teknologi Hijau dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030,” ujarnya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 peserta yang merupakan penduduk setinggan di rizab Sungai Kerian.
Menurutnya, kesemua peserta akan ditempatkan di pangsapuri yang dibina secara usaha sama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dan Bumi Johan Sdn Bhd yang juga anak syarikat Asiabina.
Sumber : Astro Awani Online