Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak tahun 2024 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), di sini hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Lenggong: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), di sini, hari ini.
Majlis anjuran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin berlangsung dari 11 pagi hingga 3 petang itu dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung.
Turut berangkat, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Ketibaan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara pada 12 tengah hari disambut Saarani, Aezer dan kenamaan lain termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Lenggong yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut menyantuni termasuk bersalaman dengan hadirin yang tidak melepaskan peluang mendekati baginda.
Sementara itu, Saarani menerusi sembah ucapan berkata, majlis berkenaan menjadi petunjuk bahawa Syawal dapat menyatukan pelbagai budaya dan tradisi rakyat berbilang kaum dan agama dengan semangat kebersamaan.
Katanya, kekuatan itu sekian lama menjadi benteng dalam usaha mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.
“Bukan sahaja di Kota Tampan, Lenggong ini, bahkan rakyat merentasi garisan kaum, budaya dan agama di serata pelusuk negara memaknakan ketibaan Aidilfitri dengan menghidupkan tradisi rumah terbuka, amalan ziarah menziarahi keluarga dan rakan taulan.
“Ia sekali gus menyerlahkan semangat toleransi dan hormat menghormati yang selama ini menjadi tunjang kekuatan rakyat Malaysia,” katanya.
Sumber : Harian Metro Online