AMAR Tasykin menunjukkan hiasan kaligrafi ayat al-Quran sebagai antara produk diuasahakan. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Teluk Intan: Bermula hanya sebagai hobi di tepi rumah sembilan tahun lalu, bekas pengurus projek perumahan ini tidak menyangka aktiviti pertukangan perabot secara ‘suka-suka’ bertukar menjadi kerjaya baru dengan pendapatan menguntungkan.
Amar Tasykin Mohd Basari, 36, dan isterinya, Norafiqah Aini Mohamed Zohoimi, 33, kini menawarkan perkhidmatan pembuatan pelbagai jenis perabot berasaskan kayu yang beroperasi di Taman Industri Ringan dekat Langkap, di sini.
Amar Tasykin selaku Pengarah KERJAKAYUpallet berkata, semuanya bermula apabila jiran dan kenalan tertarik kepada hasil tangannya sehingga mahu menempah set meja kayu dan rak gantung.
“Awalnya saya menolak kerana tidak yakin mampu memenuhi kehendak mereka, tambahan lagi saya tiada latar belakang pertukangan, hanya berbekalkan minat dan cuba mereka cipta sendiri. Isteri dan keluarga pula memberi galakkan untuk saya mengambil tempahan dan berniaga.
“Kami gunakan kayu pine, ‘rubber wood’ dan ‘Oriented Strand Board’ (OSB) mengikut kesesuaian untuk menghasilkan lebih 100 model perabot seperti rak almari, meja kerusi makan, kaunter, buaian dan banyak lagi.
“Alhamdulillah, hasil perniagaan semakin baik membolehkan kami menaiktaraf mesin pemotong dan mesin ukiran kayu selain kelengkapan lain untuk memudahkan kerja-kerja pertukangan di bengkel, serta menggaji tiga anak muda tempatan,” katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, keputusan untuk bertukar kerjaya nyata berbaloi memandangkan pendapatan yang diperoleh melalui perniagaan ini lebih stabil dan konsisten berbanding sebelum ini, selain punyai lebih masa bersama keluarga.
“Kami turut mempelbagaikan produk mereka dengan pengkhidmatan dekorasi ruang dinding, cenderamata, ukiran kayu dan sewaan tirai latar untuk bergambar (photoshoot backdrop) bagi memaksimumkan pendapatan syarikat,” katanya.
Berkongsi cabaran dalam perniagaan, Norafiqah Aini selaku pengurus berkata, bahan utama iaitu kayu pine perlu diimport dari Sweden menyebabkan kadang-kala ia sukar diperoleh selain memakan masa untuk tiba ke Pelabuhan Klang.
“Kos untuk membawa masuk kayu pine ke sini juga tidak murah, mujurlah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) membantu menyalurkan maklumat dan membantu mendapatkan pembiayaan berbentuk pinjaman daripada agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.
STeP adalah antara peneraju segmen 1 Keluarga 1 Usahawan menerusi flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber : Harian Metro Online