GRADUAN yang mencari pekerjaan pada Jelajah Karnival Kerjaya Perak Sejahtera Daerah Muallim 2024 di Tanjung Malim baru-baru ini. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
TANJUNG MALIM: Inisiatif Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK)dalam pembangunan sumber manusia banyak membantu anak negeri ini mendapat peluang pekerjaan tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.
Komitmen PASAK itu diterjemahkan dengan fakta iaitu dianggarkan 60 peratus individu yang berdaftar dengan agensi tersebut berjaya memperoleh pekerjaan tahun lalu.
Setakat ini, sebanyak 2,200 jawatan pelbagai agensi berjaya diisi menerusi program Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera oleh PASAK.
Menyediakan peluang pekerjaan kepada anak negeri menjadi keutamaan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah inisiatif Perak Sejahtera 2030.
Bagi Hidayah Mohd. Nizam, 27, yang menetap di Behrang, jelajah kerjaya itu ternyata membantunya mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan Ijazah Sains Geologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dimilikinya.
Kataya, dia mendapat tahu mengenai program jelajah kerjaya menerusi Facebook dan mendapati banyak syarikat di sekitar Tanjung Malim yang sesuai dengan kelulusannya.
“Sekiranya saya mengetahui lebih awal pasti saya akan mendaftar dengan PASAK selain tidak perlu bekerja di sebuah syarikat berkaitan geologi di Shah Alam, Selangor.
“Saya sendiri tidak sedap hati untuk bekerja lama di Shah Alam kerana perlu menumpukan perhatian terhadap ibu yang perlu mendapatkan rawatan berkala di klinik kesihatan akibat penyakit kencing manis,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Karnival Kerjaya Perak Sejahtera Daerah Muallim 2024 di sini baru-baru ini.
Muhammad Iqbal Borhan, 24, dari Slim River pula memberitahu, PASAK banyak membantunya terutama menyediakan latihan secara percuma dalam Program Pendidikan Teknikal dan
Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang kereta dan motosikal.
“Syukur saya mempunyai sijil kemahiran setaraf diploma dengan mengikuti kursus anjuran PASAK selain berpeluang bekerja di bengkel kenderaan.
“Namun, saya ingin bekerja dalam sektor automotif dan percaya negeri ini terutamanya di Tanjung Malim menawarkan peluang pekerjaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online