Noor Alia (kanan) dan Saudi di hadapan kediaman mereka di Kampung Banggol Batu, Lenggong baru-baru ini.
LENGGONG – Penantian seorang guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai selepas dia menerima kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Perakku Prihatin di Kampung Banggol Batu, di sini.
Majlis penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada pemiliknya, Noor Alia Mohd. Rosli, 29, dalam satu majlis di pekarangan kediamannya itu.
Menurut Noor Alia, dia dan suaminya, Saudi Sukardi, 32, bersyukur inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan melalui Yayasan Perak merealisasikan impian mereka untuk mendiami rumah sendiri selepas menyewa di Taman Kota Tampan di sini sejak 2020.
“Saya mendapat tahu tentang RMR Perakku Prihatin ini pada 2021. Setelah berbincang dengan suami, akhirnya kami mengambil keputusan untuk memohon kerana yakin ia suatu projek yang baik di bawah kerajaan negeri.
“Permohonan dibuat menerusi laman web Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada bulan November 2021 dan tidak disangka-sangka pada bulan berikutnya permohonan kami telah diluluskan,” katanya.
Noor Alia dan Saudi mempunyai seorang anak Muhammad Iskandar Zulqarnain, 3.
Bercerita lanjut Noor Alia berkata, rumah RMR Perakku Prihatin mempunyai tiga bilik dan dua tandas ditawarkan dengan harga RM100,000.
“Bayaran bulanan juga berpatutan iaitu RM325 yang mana ia lebih murah berbanding kadar rumah sewa kami sekarang di Taman Kota Tampan sebanyak RM350.
“Memang kami bersyukur sangat terpilih sebagai penerima RMR Perakku Prihatin,” luahnya.
Program RMR Perakku Prihatin antara inisiatif kerajaan negeri Perak untuk rakyat dari golongan B40 memiliki rumah sendiri di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.
Program itu kerjasama antara Yayasan Perak dan SPNB melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 2021. Saarani selaku Pengerusi Yayasan Perak menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan.
Golongan pertengahan seperti kelompok B40 mendapat manfaat daripada RMR Perakku Prihatin memandangkan ia merupakan program pinjaman perumahan tanpa faedah.
Sumber : Kosmo Online