TAEKWONDO sudah bertapak dengan baik di Perak dan sering menjadi antara pilihan anak muda untuk terlibat dalam aktiviti fizikal.

IPOH: Penganjuran Kejohanan Perak Tourism International Invitation Taekwondo Championship 2024, dapat menjelaskan bagaimana seni pertahankan diri taekwondo mempunyai nilai tersendiri buat negeri Perak.

Kejohanan itu yang akan diadakan pada 20 hingga 23 Jun 2024 di Arena Badminton Ipoh, membuktikan bagaimana taekwondo bukan sahaja dilihat sebagai aktiviti riadah, malah merupakan acara yang mengetengahkan Perak ke persada dunia.

Perkara itu terbukti apabila Perak yang menghantar atletnya mewakili Malaysia untuk bertarung dalam Piala Dunia Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF) di Slovenia pada tahun 2022, berjaya membawa pulang lima emas, satu perak dan dua gangsa.

Menurut Presiden Pelancongan Perak, Datuk Mohd. Odzman Abdul Kadir, Taekwondo sudah bertapak dengan baik di Perak dan sering menjadi antara pilihan anak muda untuk terlibat dalam aktiviti fizikal.

Beliau berkata, Persatuan Taekwondo Perak menjalinkan kerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negeri bagi baik dari segi sukan dan juga tarikan pelancong, katanya.

“Kerajaan Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menekankan sukan sebagai satu daripada aset negeri untuk berkembang melalui Flagship Kelapan Perak Sejahtera 2030 iaitu Agenda Perak Sihat Sejahtera.

“Ini termasuklah pelancongan melalui penganjuran acara sukan taekwondo di negeri ini dan juga pembinaan jati diri anak bangsa. Penggiat sukan taekwondo akan berusaha membantu dalam menjayakan agenda itu,” katanya.

Katanya, sehingga kini di Perak terdapat 13 tenaga pengajar Taekwondo bertaraf dunia dan lebih 1,300 orang yang aktif dalam seni pertahanan diri tersebut.

Tambahnya, 25 peratus daripada mereka yang aktif adalah pemegang tali pinggang hitam iaitu kelas tertinggi dalam seni pertahanan diri dari Korea itu.

“Sehingga kini terdapat lebih 100 kelab taekwondo di pelbagai peringkat di negeri Perak yang melatih anak-anak muda untuk menjadi lebih berdisiplin, yakin dan mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Kata Mohd. Odzman, sukan itu kini mahu dipopularkan bermula di peringkat pendidikan awal sehingga ke institusi pengajian tinggi.

Beliau menyebut mahaguru master Yong Kin Chong sebagai antara watak penting dalam perkembangan taekwondo di Perak, termasuk sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk memastikan seni itu terus bertahan dan berkembang di negeri ini.

“Ilmu sampingan lain turut diterapkan kepada pemain sukan itu termasuk pendedahan mengenai keselamatan diri seperti pertolongan cemas dan menjemput tokoh taekwondo handalan dunia untuk datang bagi memberi galakan,” katanya.

Katanya, kejohanan pada Jun nanti itu juga adalah bertepatan dengan satu daripada flagship Perak Sejahtera 2030 untuk menjadikan ekonomi dan sosial negeri turut berkembang berteraskan sukan.

“Penganjuran ini akan menarik kehadiran pelancong ke Perak dan mempopularkan negeri ini dalam sukan Taekwondo baik di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. 

Sumber : Utusan Malaysia Online