SUASANA burung kembali ke sarang.
Teluk Intan, Perak punyai tarikan tersendiri! Itu yang dapat penulis simpulkan berdasarkan pengalaman penuh momen indah baru-baru ini.
Selepas Pisa, Itali, Teluk Intan adalah bandar kedua yang memiliki menara condong di dunia.
Asalnya menara itu adalah menara takungan air dan pernah menjadi menara jam. Ia mula dikenali menara condong kerana kejadian mendapan tanah membuatkan struktur menara itu condong.
Tidak hairan bangunan ikonik itu menjadi tarikan pengunjung bergambar atau bersantai setiap kali musim percutian atau hujung minggu.
Tidak hanya meninjau keunikan menara itu, malah penulis sempat menyusuri Sungai Perak dengan menaiki bot pelancongan.
Pengamatan peribadi, menyusuri bot untuk menikmati pemandangan lebih mengasyikkan apatah lagi berpeluang menyaksikan panorama burung kembali ke sarang tatkala senja.
Perasaan melihat ribuan burung kembali ke sarang dari mencari makan di kawasan bendang berhampiran ke Pulau Bangau iaitu habitat terbina dari benting pasir di Sungai Perak adalah sesuatu mengujakan.
Difahamkan Pulau Bangau kini antara produk ekopelancongan dan lapangan kajian terpenting bagi unggas.
Hal itu sendiri dikongsikan operator dan pemandu pelancong River Cruise Teluk Intan, Muhammad Sahril Mustafa, 36, apabila khidmatnya bukan saja ‘ditagih’ pengunjung, malah penyelidik dan peminat burung dalam atau luar negara.
“Biasanya pengunjung menyusuri Sungai Perak untuk menikmati pemandangan petang dan senja. Malah ada yang datang berkali-kali kerana suka dengan pengalaman di atas bot.
“Mereka bawa keluarga dan kenalan untuk menikmati pengalaman. Trafik lebih padat pada musim cuti perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan cuti hujung minggu atau musim cuti sekolah.
“Kapasiti kami ketika ini maksimum ialah 150 orang dan waktu paling mendapat permintaan tinggi ialah slot burung ‘pulang’ antara jam 6.20 petang hingga jam 7.15 petang,” katanya.
Muhammad Sahril berpengalaman sebagai operator atau pengemudi bot pelancongan sejak 2019 berkata, produk pelancongan berlatarkan sungai berpotensi tinggi.
Malah pelancong luar terutama Eropah amat menyukai konsep bersantai menyusuri sungai itu.
“Idea untuk saya memulakan produk pelancongan ini sendiri adalah cetusan rakan sekerja atau guru dari luar negara yang dikenali sebagai Matthew.
“Sebelum menjadi operator bot pelancongan, saya adalah guru. Tetapi, disebabkan minat dengan aktiviti sungai, saya ambil keputusan berhenti kerana mahu berkongsi dengan orang lain.
“Khazanah Sungai Perak ini kaya bukan sahaja sumber hasil sungai seperti baung, patin dan udang galah semata-mata, tapi ia juga mempunyai banyak tinggalan sejarah.
“Dari kereta api sehingga kapal lama dahulunya masih menggunakan lokomotif, ada tinggalan baik dalam sungai mahupun pesisiran,” katanya.
Akui Muhammad Sahril, orang luar juga dapat mempelajari mengenai gaya hidup masyarakat setempat yang mungkin jarang dilihat orang luar.
“Banyak aktiviti setempat terutama sosioekonomi tempatan bergantung kepada sungai ini. Contohnya bot penambang yang diusahakan Lee Lam Seng, 62, iaitu generasi ketiga dan menjadi satu-satunya pengusaha yang masih tinggal serta menjalankan khidmat ini,” katanya.
Sebaik dimaklumkan jumlah tambang dibayar penumpang menyeberangi sekitar 70 sen hingga RM1 sehala, penulis terkejut kadar itu sangat berpatutan.
Mungkin juga ia antara sumbangan besar pengusaha itu untuk terus memberi khidmat kepada penduduk yang memerlukan pengangkutan di Seberang Perak dan Teluk Intan.
Penerangan Muhammad Sahril kepada penulis dan lapan pengunjung itu ketika menyertai sesi menyusuri sungai itu, Jeti Kampung Cina di seberang sungai bertentangan dengan Jeti Pokok Asam mulai sibuk seawal jam 6.30 pagi.
“Perjalanan menggunakan bot penambang menjimatkan banyak masa iaitu 15 minit berbanding 30 hingga 40 minit perjalanan menggunakan kereta.
“Jam 6.30 pagi Jeti Kampung Cina sudah bersusun orang hendak naik bot penambang termasuk budak bersekolah di pekan Teluk Intan.
“Petang pula pembonceng motosikal dan naik basikal atau jalan kaki, boleh menyeberang sungai untuk ke bandar Teluk Intan,” katanya.
Bagi penulis tempoh 45 minit menyusuri Sungai Perak penuh warna-warni dan ia menjadi momen menarik apabila tiba di Teluk Intan.
Sumber : Harian Metro Online