Mohammad Shahil (tiga dari kiri) memeterai dokumen perjanjian pembiayaan di Singapura – Gambar ihsan SeRenE
KUALA LUMPUR: Semarak Renewable Energy Sdn Bhd (SeRenE) berjaya memperoleh pakej pembiayaan sebanyak RM1.88 bilion (AS$400 juta) untuk projek hidrogen hijau perintisnya di Perak, Malaysia.
Pembiayaan itu dimuktamadkan di Singapura pada 20 Februari 2024 di mana Capitale Ventures dan Chalfouh LLC sebagai penasihat, meletakkan Malaysia untuk menjadi pengeluar hidrogen hijau terkemuka bagi memanfaatkan inovatif teknologi penjanaan kuasa fotovoltaik.
Pengarah Urusan SeRenE, Mohammad Shahil Ishak, berkata projek itu telah mendapat minat yang ketara daripada pelabur asing yang mengiktiraf potensi besar hidrogen dalam membentuk masa depan tenaga.
“Melihat persamaan di antara pembuat kereta Jepun terkenal seperti Toyota dan Honda, yang telah banyak melabur dalam teknologi hidrogen untuk kereta, keterujaan ini memberi impak terhadap transformatif ke atas pelbagai sektor, terutamanya automotif dan perkapalan.
“Bagi menggalakkan penglibatan pelabur tempatan dan kerajaan, penekanan projek bukan sahaja untuk daya maju tetapi juga dari segi keuntungan, sejajar dengan pertumbuhan permintaan penyelesaian yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Shahil berkata, inisiatif yang berpangkalan di Perak itu membabitkan pembangunan pengeluaran hidrogen hijau yang menggunakan penjanaan kuasa fotovoltaik terapung, penyimpanan dan logistik yang menjanjikan peralihan yang ketara ke arah amalan tenaga lestari.
Beliau menekankan bahawa pengeluaran hidrogen itu bergantung semata-mata pada bekalan tenaga bersih.
“Ia berbeza daripada sumber hidrogen konvensional seperti hidrogen kelabu yang berasal daripada fosil bahan api atau hidrogen biru daripada gas asli, menjadikannya alternatif yang lebih bersih.
“Jika lebih banyak projek dilaksanakan, Malaysia bersedia untuk mengetuai dalam arena tenaga hijau global.
Ia bukan sahaja untuk sokongan kewangan tetapi juga pendapatan supaya dapat meningkatkan kepentingan alam sekitar di seluruh dunia,” katanya.
Pada majlis menandatangani pembiayaan itu, SeRenE diwakili oleh Mohammad Shahil, manakala Capitale Venture diwakili Pengasas Bersamanya, Willy Lim.
Sumber : Berita Harian Online