Muhammad THAQIF AMSYAR (dua dari kiri) menunjukkan telefon bimbit yang digunakannya untuk mengulang kaji pelajaran menjelang peperiksaan SPM akan datang di Parit Buntar.

PARIT BUNTAR – Program Tui­syen Cikgu Saarani (TCS) yang merupakan inisiatif di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 dimanfaatkan sepenuhnya oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak di sini bagi meningkatkan presta­sinya dalam pembelajaran.

Pelajar tersebut, Muhammad Thaqif Amsyar Azman, 17, berkata, dia manfaatkan TCS bagi me­ngulang kaji pembelajaran dan melatih tubi ke atas tujuh mata pelajaran dan mempersiapkan dirinya untuk menduduki pe­periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

“Bagi saya platform TCS memudahkan untuk saya melatih tubi pada setiap hari sekali gus membantu meningkatkan prestasi saya dalam pembelajaran.

“Dalam peperiksaan percubaan yang lalu, saya mendapat 6A+ dan 2A serta 1B hasil dari mengikuti TCS sejak September tahun lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Taman Seri Semarak di sini.

Menurut Muhammad Thaqif Amsyar, setiap soalan dikemukakan melalui TCS bukanlah mudah atau rendah kesukarannya tetapi soalan yang mirip dengan tahap sebenar peperiksaan SPM.

“Setiap soalan yang disediakan oleh TCS akan dijawab mengikut bab urutannya dan dengan cara ini saya akan tahu di bahagian mata pelajaran yang mana saya lemah dan perlu diperbaiki.

“Sebagai contohnya dalam subjek mata pelajaran sejarah, TCS menyediakan soalan mengikut fasa, jadi jika saya lemah untuk menjawab soalan disediakan maka saya hanya perlu membuat ulang kaji pelajaran berkaitannya sahaja tanpa perlu mengulang kaji keseluruhan bab subjek tersebut,” katanya.

Anak keempat dari lima beradik hasil perkongsian hidup Azman Samat, 53, bersama iste­rinya, Noor Hamimi Abd. Hamid, 48, itu berkata, dia ingin mendapatkan keputusan cemerlang di dalam SPM nanti bagi mencapai impian cita-citanya menjadi seorang akauntan.

“Pada masa ini saya memberi fokus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris melalui TCS untuk memperbaiki kelemahan yang ada supaya keputusan pada peperiksaan percubaan yang lalu iaitu B akan mendapat sekurang-kurangnya A-,” katanya.

Sementara itu, Noor Hamimi berkata, program TCS yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 2021 ternyata memberi manfaat kepada anaknya itu sehingga mampu meningkatkan prestasi dalam pembelajaran dari semasa ke semasa.

Sumber : Kosmo Online