Nor Haslinda menghasilkan kira-kira 100 paket kerepek pisang seberat 500g dan dijual pada harga RM12 sepaket.

Parit: Melihat kerbau bebas meragut rumput dan berkubang di pinggir Sungai Perak sewaktu matahari terbenam menggamit ratusan pengunjung bersantai di Padang Koba yang terletak di Kampung Telok Bakong, Lambor Kanan, di sini.

Keindahan semula jadi itu amat sesuai untuk mereka yang mahu berehat sebentar daripada kesibukan hiruk-pikuk kota dan mengubat kerinduan terhadap nostalgia zaman kanak-kanak di kampung.

Ia dinamakan Padang Koba kerana dialek penduduk tempatan di sini menyebut kerbau sebagai koba.

Penduduk, Kamarul Baharin Aharudin, 52, berkata, lokasi itu menjadi port anak kampung bersantai dan mandi sungai sejak dahulu.

“Kanak-kanak teruja mandi di tebing sungai ini jika air surut, memang port berkubang budak kampung sejak dahulu.

“Kami akan ingatkan mereka supaya hanya mandi di kawasan tepi dan keluarga perlu memantau sendiri sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Kamarul yang juga dikenali penduduk tempatan sebagai Paduka Demang berkata, lokasi itu mula tular selepas dijadikan set penggambaran filem terlaris dalam sejarah perfileman Malaysia iaitu Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang mencatatkan kutipan melebihi RM96 juta seluruh negara.

“Puluhan penduduk kampung mendapat manfaat dari sudut ekonomi serta pengalaman kerana berpeluang turut serta menjayakan penggambaran filem itu.

“Ada yang diambil sebagai watak tambahan, ada yang membantu menyediakan makanan untuk kru produksi, tak kurang menjadi motivasi buat generasi muda yang terinspirasi untuk bergiat dalam dunia seni,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah, Zairina Noordin berkata, Padang Koba adalah kawasan rizab padang ragut untuk kegunaan awam bagi tujuan penternakan.

Beliau menjelaskan, Padang Koba diangkat sebagai kawasan tarikan berkonsepkan pelancongan pesisir sungai melalui flagship Ekonomi Pengalaman dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Selain itu, katanya, lokasi itu adalah salah satu daripada 27 tempat ikonik pelancongan dalam daerah berkenaan sempena Tahun Melawat Perak 2024.

“Persatuan Ukhuwah Komuniti Teluk Bakong (PUKTB) sudah menyusun beberapa acara sambutan contohnya Free Fly Parrot dijadualkan berlangsung antara April dan Mei depan yang bakal menghimpunkan penggemar burung Kakak Tua dari seluruh negara.

“Unit Korporat dan Pelancongan MDPT juga memainkan peranan mempromosi Padang Koba sebagai destinasi ekopelancongan melalui penyertaan siri jelajah Tourism Perak serta platform media sosial.

“Ini secara langsung bakal memberi manfaat ekonomi terhadap penduduk kampung termasuk peluang pekerjaan dan terlibat dalam penggambaran bersama syarikat produksi perfileman,” katanya.

Beliau berkata, MDPT amat menggalakkan penggiat filem untuk datang ke Padang Koba dan daerah Perak Tengah, tambahan lagi pihaknya sedia membantu pencarian lokasi penggambaran yang bersesuaian dengan kehendak pihak produksi.

“Terbaharu, filem 19 Puasa arahan anak Allahyarham Mamat Khalid, Amin Khalid selesai menjalankan penggambaran di Padang Koba pada Oktober lalu dan difahamkan akan ditayangkan pada Ramadan ini,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online