ANTARA aksi pelumba kejuaraan Motul Championship 2023 – Round 3 & 4 yang berlangsung di Litar Dato’ Sagor pada 23 dan 24 Disember lalu.

Pasir Salak: Pembukaan semula Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, di sini secara rasmi bagi acara sukan permotoran sejak Disember lalu menambah daya tarikan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Pengurus Litar Dato’ Sagor, Fairuddin Rastam, berkata sejak mengambil alih operasi kompleks berkenaan pada pertengahan Oktober tahun lalu, pihaknya membelanjakan lebih RM400,000 untuk kerja-kerja baik pulih litar sepanjang 1.2 kilometer (km) itu dengan tumpuan terhadap aspek keselamatan berdasarkan piawaian Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

“Kita selenggara semula trek di sini termasuk memasang pagar keselamatan sepanjang 1.6 km di sekeliling trek supaya tidak berlaku pencerobohan dan membantu kita mengawal keluar masuk individu ke litar ini.

“Selain itu, kita sudah gantikan penghadang tayar yang lama dan menggunapakai penghadang jenis bongkah polisterina (foam board) yang menyerap impak dan lebih selamat kepada pelumba andai berlaku perlanggaran semasa memecut berdekatan Start and Finish Point.

“Kita juga menaik taraf grandstand untuk keselamatan penonton serta mewujudkan bilik rawatan dengan pegawai kesihatan bertauliah melalui perjanjian panel bersama syarikat ambulans swasta,” katanya kepada Harian Metro.

Hasil usaha gigih pasukan pengurusannya, kompleks litar yang berusia 25 tahun itu beroperasi semula dengan penganjuran kejuaran Motul Championship 2023 – Round 3 & 4 anjuran Kelab Sukan Bermotor Lasak Perdana selepas memperoleh permit MAM, melibatkan penyertaan 50 kelab termasuk dari Singapura, 23 dan 24 Disember lalu.

Fairuddin berkata, penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa supaya Litar Dato’ Sagor menjadi lokasi pilihan penggiat sukan permotoran secara sihat sekali gus menyahut seruan kerajaan negeri bagi menjayakan flagship Agenda Perak Sihat Sejahtera yang dihasratkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Fairuddin yang memiliki latar belakang pengurus beberapa trek motocross selama lebih 20 tahun berkata, Litar Dato’ Sagor kini bersedia menerima sebarang penganjuran kejohanan melibatkan perlumbaan motor 600cc ke bawah dan perlumbaan kereta jenis time attack.

Berkongsi lanjut, Fairuddin berkata, kejohanan terdekat yang bakal berlangsung di Litar Dato’ Sagor adalah Road To Wira Cubprix pada 28 Januari ini dan Motul Sirie 1 dijadualkan berlangsung bulan hadapan sempena TMP 2024.

Litar Dato’ Sagor mula menjadi perhatian apabila pelumba negara, Khairul Idham Pawi menjuarai Kejohanan Motosikal Dunia sekaligus mencipta sejarah apabila lagu ‘Negaraku’ dikumandang buat pertama kali di Litar Termas De Rio Hondo, Argentina pada 2016.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah, berkata kerajaan negeri merancang untuk menarik kejuaran berprestij, Petronas Malaysian Cub Prix untuk menjadikan Litar Dato’ Sagor sebagai venue perlumbaan.

“Kita (kerajaan negeri) ingin menarik kejohanan permotoran berprestij ke Litar Dato Sagor seperti MOTUL Championship yang melibatkan tiga pusingan setiap tahun di mana peserta kejuaran ini bukan sahaja terdiri daripada pelumba tempatan, malah turut membabitkan pelumba dari negara rantau ASEAN.

“Selain itu, menjadikan litar ini salah satu venue bagi Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix, ini dalam perancangan kita,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Khairudin berkata, pihak operator juga sudah diarah bagi menjalankan promosi yang lebih efisyen dan meluas bagi menarik orang ramai yang berada di dalam dan di luar Perak untuk berkunjung ke litar berkenaan.

“Bagi manfaat ekonomi penduduk tempatan, pihak pengurusan litar dan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) merancang untuk menyediakan lot tempat meniaga percuma di dalam kompleks litar apabila terdapat acara, selain mempromosikan inap desa atau rumah rehat tempatan untuk penginapan krew, pelumba dan pengunjung.

“Dalam jangka masa panjang, pembukaan semula ini akan menarik anak muda untuk turut serta menjadi marshal atau krew bagi kejohanan sukan permotoran,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online