TAMAN tema Dinosaur Encounter berteknologi terkini menjadi tumpuan pelancong di Silverlakes Village Outlet di Batu Gajah. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
BATU GAJAH: Kehadiran Pusat komersial Silverlakes Village Outlet (SVO) di sini bakal menambah nilai industri pelancongan negeri Perak yang selama ini sinonim dengan keindahan alam dan peninggalan sejarah.
SVO terletak antara Gopeng dan Batu Gajah, merupakan pembangunan dalam greater Ipoh atau Ipoh raya yang menyediakan pusat beli-belah berjenama popular serta mewah, di samping keindahan muka bumi di sekitarnya.
Pengenalan pusat komersial itu bakal meletakkan Perak setanding dengan beberapa negeri lain dan lokasi dalam negara yang mempunyai tempat beli-belah mewah atau premium outlet.
Pengurus Besar Operasi Pusat Beli-belah Silverland Capital Sdn. Bhd., Hardeep Kaur Dhaliwal berkata, SVO adalah outlet premium pertama di Perak dengan jumlah unjuran pelaburan RM250 juta hartanah di Lembah Kinta.
Katanya, SVO akan menjadi pusat beli-belah yang meriah dengan keluasan 300,000 kaki persegi, mempunyai lebih 160 unit lot kedai termasuk makanan dan minuman (F&B), dan sekali gus menjadikan lokasi itu bertaraf antarabangsa.
“Silverlakes akan memberi tumpuan kepada perkembangan gaya pelancongan di kawasan Ipoh raya seperti Gopeng dan Batu Gajah.
“Ia menampilkan gaya hidup membeli-belah dengan keindahan alam semulajadi, dengan kehadiran pelbagai jenama antarabangsa yang menawarkan banyak pilihan kepada pengunjung tempatan dan luar negara,” katanya.
Pusat komersial itu terletak di tengah-tengah antara Pulau Pinang dan Lembah Klang boleh diakses menerusi Lebuhraya Utara-Selatan, kira-kira dua jam perjalanan dari kedua-dua tempat itu.
Dilaporkan sebelum ini beberapa jenama akan membuka rangkaian masing-masing di situ antaranya Al-Ikhsan, Coach, Kate Spade, Sembonia, Carlo Rino, Puma dan pereka fesyen tempatan, Rizman Ruzaini.
Pembukaan SVO bakal merancakkan lagi ekonomi Perak seperti yang diunjurkan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Tambah Hardeep, SVO juga menyediakan taman tema Dinosaur dinamakan sebagai Dinosaur Encounter dengan teknologi terkini.
Jelasnya, pameran itu merupakan jenama utama dengan daya tarikan dari segi Realiti Terimbuh (Augmented Reality), Realiti Maya (Virtual Reality) dan animatronik dalam fasa kedua yang dijadual dibuka pada suku pertama 2024.
“Ia adalah gabungan antara hiburan dan pendidikan yang sesuai untuk kanak-kanak sekolah dan juga orang dewasa,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online