RANI (dua kanan) bersama anggota KOALKB yang bertanggungjawab menjaga dan mengurus Taman Eko-Rimba Lata Kinjang sejak Julai 2022. – FOTO Muhamad Lokman Khairi

Tapah: Di sebalik Lata Kinjang yang gah bergelar destinasi pelancongan air terjun paling tinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 850 meter dari paras laut, ada perkampungan Orang Asli bertanggungjawab menguruskannya demi keselesaan dan kepuasan pelancong.

Semuanya bermula Julai 2021 lalu apabila mereka bersepakat menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) dengan hasrat mengeluarkan masyarakat Orang Asli suku Semai di sini daripada garis kemiskinan.

Tok Batin Rani Bah Ulin, 51, berkata, idea penubuhan koperasi dicadang sendiri olehnya bertujuan mewujudkan sumber pendapatan tetap kepada seramai mungkin orang kampung mendiami kawasan air terjun.

Beliau yang juga setiausaha koperasi berkata, mata pencarian majoriti penduduk sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan seperti madu dan tumbuhan herba untuk diniagakan kepada masyarakat luar di pekan Chenderiang.

Bagaimana pun, menurutnya, KOALKB yang mula bertindak sebagai operator sejak Julai tahun lalu di tanah milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu membolehkan 67 penduduk bekerja dalam sektor pelancongan meliputi aspek pengurusan, keselamatan, penyelenggaraan, kebersihan serta perniagaan produk hiliran dan makanan.

“Melalui peluang pekerjaan ini, masyarakat orang asli di sini dapat menambah pendapatan masing-masing kepada RM1,500 sebulan seterusnya membantu dalam perbelanjaan keperluan seperti makanan harian dan pendidikan anak.

“Kami bertuah mendapat bantuan kerajaan negeri, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Korodor Utara (NCIA), Jabatan Perhutanan dan JAKOA dalam bentuk dana dan pemudah cara bagi memperindahkan semula infrastruktur di sekitar air terjun ini.

“Pelancong boleh menikmati pengalaman berekreasi di Taman Eko-Rimba Lata Kinjang bukan sahaja air terjunnya semata-mata, malah jambatan gantung, denai kembara sejauh tiga kilometer, 10 tiub penginapan digelar ‘Tiub Semai’ dan tapak perkhemahan dengan menerapkan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Rani berkata, 63,379 pelancong domestik dan 1,581 pelancong antarabangsa direkodkan antara Januari hingga Julai tahun ini.

Beliau berkata, limpahan ekonomi daripada kedatangan pelancong turut memanfaatkan penduduk di lima kampung Orang Asli berdekatan iaitu Kampung Dusun 100, Kampung Sungai Lerek, Kampung Sungai Genting, Kampung Sungai Cincin dan Kampung Sungai Lah dari segi peluang pekerjaan melibatkan sektor hospitaliti.

Lebih menarik sempena Tahun Melawat Perak 2024, Rani berkata, KOALKB bakal menampilkan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli suku Semai seperti tarian Sewang untuk tatapan pelancong di Balai Sewang serta pembinaan galeri khas sebagai sudut informasi berkaitan sejarah dan asal usul Lata Kinjang serta sumbangan masyarakat Orang Asli terhadap pembangunan daerah Batang Padang.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan keberkesanan flagship Membasmi Miskin Tegar 2025 dan Santuni Orang Asli dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Lata Kinjang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di taman eko-rimba berkenaan, Osman Abdullah, 62, berkata, penubuhan koperasi amat membantunya mencari rezeki pada usia lanjut sepertinya.

“Jaraknya dekat dengan rumah saya, jadi memudahkan saya bertugas melakukan rondaan,” katanya.

Seorang pelancong yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Hafizam Zakaria, 22, berkata, Taman Eko-Rimba Lata Kinjang bukan sahaja menarik kerana keindahan semula jadinya, tetapi juga keterbukaan masyarakat Orang Asli suku Semai di sini yang menerima penuntut universiti sepertinya menjalinkan kolaborasi pendidikan.

Beliau bersama lima rakan menjalankan Program Semarak Bahasa melibatkan 27 kanak-kanak Orang Asli Kampung Lata kinjang berusia 6 tahun sehingga 13 tahun bagi memperkenal konsep ‘golongan kata’ dalam bahasa Melayu iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

“Kami seronok dapat bergaul dan menyelami kehidupan masyarakat di sini sambil mengajar,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online