MOHAMAD Helmi Muhammad Rozi mengusahakan tanaman sayur fertigasi di ladangnya di Kuala Kangsar, Perak. – UTUSAN

KUALA KANGSAR: Detik pahit menyaksikan projek ternakan ikan yang diusahakannya musnah dilanda banjir, tidak melunturkan semangat Mohamad Helmi Muhammad Rozi, 42 , untuk terus kekal bidang pertanian.

Pada 2016, dia menyifatkan penternakan ikan yang diusahakannya gagal akibat banjir besar di Kuala Kangsar sekali gus menyebabkannya menanggung kerugian besar.

Dua tahun kemudian, dia bangkit dan sehingga kini terus mengusahakan tanaman sayuran secara komersial di kawasan Manong, di sini untuk dipasarkan kepada pasar borong serta penjual khususnya di Kuala Kangsar.

Mohamad Helmi berkata, antara tanaman yang diusahakan ialah cili, timun, terung secara fertigasi selain labu air dan labu manis.

“Saya menceburi bidang pertanian sejak 2013 selepas berhenti sebagai penjawat awam. Bermula dengan bidang penternakan ikan tapi gagal akibat banjir besar pada 2016.

“Kemudian saya mencuba pertanian tanaman sejak 2018. Semua hasil dihantar terus ke pasar borang dan kedai-kedai sekitar Manong dan Kuala kangsar,” katanya.

Mohamad Helmi bersyukur apabila komitmennya untuk terus kekal dalam sektor pertanian mendapat perhatian oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) yang memberinya pinjaman.

“Kemudahan daripada SADC membantu saya meluaskan perusahaan ini. Hasilnya, saya dapat meningkatkan jumlah polibeg daripada 2,500 kepada 5,000.

“Sokongan dan dorongan Jabatan Pertanian juga memberi keyakinan untuk terus menambah baik segala aktiviti penanaman yang saya lakukan,” katanya.

Mohamad Helmi melihat sektor pertanian membuka potensi yang sangat besar lebih-lebih lagi dalam usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk memastikan jaminan sekuriti makanan.

Menurutnya, dia meletakkan sasaran untuk meningkatkan pengeluaran secara berterusan dan tanaman dilakukan secara berjadual bagi memastikan pengeluaran yang konsisten.

“Saya gembira dengan segala bantuan dana serta teknikal yang diberikan oleh agensi seperti SADC dan penekanan terhadap keterjaminan makanan.

“Ini sejajar seperti yang ditekankan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 yang membuka peluang lebih besar buat petani moden dalam kalangan rakyat negeri ini,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online