KHAIRIL Izuan (dua dari kiri) bersama ahli Koperasi Agro Ternak Melayu Perak Berhad (KATAM) menunjukkan hasil tuaian cili Kulai di ladang mereka di Manong, Kuala Kangsar. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Kuala Kangsar: Keputusan seorang pemuda meninggalkan kerjaya sebagai konsultan motivasi di ibu kota dan pulang menanam cili di kampung tiga tahun lalu ternyata berbaloi.
Khairil Izuan Mohd Ruddin, 39, berkata, keputusan itu diambil akibat syarikat perniagaan dianggotainya gulung tikar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.
Bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam bidang baharu itu, anak jati Kampung Guar, Manong itu berkata, dia bermula dengan 3,000 beg poli bersama seorang rakan kongsi di atas tanah milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Manong yang disewanya pada pertengahan 2020 lalu.
“Pada musim pertama, kami raih lebih tiga tan cili Kulai. Namun, selepas itu hasil kami merosot dan terus merosot. Ketika itu saya masih kekurangan ilmu.
“Kusut juga kepala dibuatnya sebab wang modal saya hampir habis. Senang cerita rugi hingga saya pun terdetik untuk berhenti,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, Khairil Izuan berterima kasih kepada pelbagai agensi yang tampil memberikan kursus pertanian serta bantuan input pertanian sehingga beliau dapat bangkit semula hingga pendapatannya kini boleh mencecah lima angka setiap musim selama tiga tahun ini.
“Saya banyak sertai kursus anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian dan PPK sebab saya mahu tambah baik pengetahuan mengenai penjagaan tanaman cili.
“Jabatan Pertanian juga memberikan khidmat nasihat khasnya mengenai saliran di ladang dan pemberian baja secara percuma yang membantu saya dari segi keterjaminan kualiti dan kesihatan tanaman.
“Pertanian bukan satu bidang yang mudah kerana ia menuntut pengorbanan dari sudut masa, tenaga dan wang, malahan perlu kekuatan dari hati dan jiwa. Namun, apabila kita dapat kutip hasil yang keluar dari penat lelah itu, memang berbaloi,” katanya.
Perkara itu dibuktikan beliau kini mempunyai 5,000 beg poli tanaman cili fertigasi di tanah seluas 0.8 hektar (dua ekar) di Manong yang diusahakan bersama Koperasi Agro Ternak Melayu Perak Berhad (KATAM), di sini.
Beliau juga memaklumkan sedang meneroka tanaman batas atau tanaman konvensional 10,000 pokok cili Kulai di kawasan baharu juga di Senggang.
Khairil Izuan berkata, purata harga cili Kulai ketika ini adalah RM8 bagi sekilo dan beliau boleh meraih lebih RM20,000 setiap musim.
Beliau berkata, bantuan dihulurkan agensi terbabit menunjukkan keseriusan kerajaan negeri menjayakan flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) melalui pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber : Harian Metro Online