Azizan bersama produk kopi pracampur 10 varian Anramin keluaran kilangnya. – Foto Azizan

LARUT: Bermula dengan menjual kopi pracampur tongkat Ali dan kacip Fatimah di sekitar kawasan kampung dekat Batu Kurau, di sini pada 2007, bekas juruelektrik kini memiliki dua kilang memproses produk berasaskan kopi pracampur dan berjaya menembusi pasaran luar negara di tiga negara.

Jenama kopi pracampur, Anramin yang diusahakan Azizan Wahab, 51, kini dipasarkan di Filipina, Singapura dan Indonesia dengan 10 varian termasuk tongkat Ali, kacip Fatimah, susu kambing, susu kambing + teh tarik, susu kambing + oat dan susu kambing + kurma.

Katanya, keinginan menceburi perniagaan berasaskan minuman herba bermula ketika beliau melakukannya secara sambilan pada 2005 dan masih berkhidmat sebagai juruelektrik di Taiping.

Latar belakang keluarganya yang mengusahakan perniagaan berasaskan produk tradisional dari Pulau Langkawi, Kedah, mencambahkan lagi minatnya menceburi bidang itu.

Azizan kemudian, berhenti kerja dan mengambil keputusan menetap di kampung isterinya di Kampung Gudang, Batu Kurau dan menjalankan perniagaan itu secara kecil-kecilan.

Akhirnya, beliau mengambil keputusan menceburinya secara serius dan membina bengkel memproses produk berkenaan di atas tanah sendiri dengan bantuan modal RM25,000 daripada Jabatan Pertanian Negeri Perak pada 2007.

“Seterusnya, saya membesarkan lagi perniagaan ini dengan memindahkan operasi kilang di kawasan Perindustrian Kamunting dan berjaya memasarkan produk ke Filipina, Singapura, dan Indonesia.

“Produk itu berjaya dieksport berikutan, usaha saya memantapkan lagi proses pembungkusan produk berkenaan sejak 2015. Semua ini menerusi bantuan Jabatan Pertanian berjumlah lebih RM100,000 yang diterima,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, bantuan diperoleh melalui jabatan berkenaan tidak terhad di situ, sebaliknya turut membabitkan bantuan lain, termasuk bimbingan dan tawaran menghadiri kursus pemantapan usahawan seperti pengurusan kewangan serta peluang menghadiri acara besar membabitkan keusahawanan yang disertai jabatan itu.

“Pada masa sama, saya juga menerima bantuan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) seperti peluang menyertai acara pada peringkat antarabangsa di luar negara dan bantuan berupa mesin serta peralatan di kilang.

“Saya juga mendapat banyak pendedahan mengenai keusahawanan melalui pembabitan program bersama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Bagaimanapun, Jabatan Pertanian paling banyak membimbing saya, iaitu sejak dari mula menceburi bidang ini hingga sekarang supaya saya terus melangkah lebih jauh,” katanya.

Beliau berkata, dua premis kilang disewanya kini berupaya menggajikan kira-kira 30 pekerja dengan sasaran perolehan jualan bagi tahun 2023 melebihi RM4 juta berbanding RM3 juta jualan tahunan yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Datuk kepada seorang cucu ini berkata, kini syarikat Aramin Industry (M) Sdn Bhd yang diusahakannya dalam proses pembinaan kilang ketiga dan menjangkau 20 peratus siap.

Di bawah pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Jabatan Pertanian diletakkan sebagai antara agensi peneraju dalam mencapai sasaran agenda 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi di bawah flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Sumber : Berita Harian Online