Saarani (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik Tourism Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024  pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 dan Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah malam tadi. – Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI / KOSMO!

BATU GAJAH – Tahun Melawat Perak 2024 yang menyasarkan kedatangan pelancong lebih lapan juta orang ke negeri itu telah dilancarkan secara rasmi.

Pelancaran dibuat di Silverlakes Village Outlet (SVO), di sini malam tadi sebelum detik pukul 12 tengah malam memasuki tahun 2024 semasa sambutan ambang tahun baharu negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kali terakhir Tahun Melawat Perak ialah pada 2017 dan mengikut perancangan, kempen sama akan diadakan semula pada tahun 2022, namun ditangguhkan akibat wabak Covid-19.

Beliau mengharapkan rakyat Perak turut berperanan sebagai duta bagi menjayakan usaha tersebut.

“Kita semua adalah duta-duta negeri yang akan mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung. Kita adalah duta-duta negeri untuk mempromosikan sejarah, budaya dan keunikan yang ada di negeri kita. Kita adalah jurucakap yang menghebahkan mengenai pesona, keindahan dan keunikan negeri kita.

“Manfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk berkongsi kisah menarik, gambar, video atau apa juga medium yang boleh menggamit kehadiran pelancong. Kongsikan mengenai kelazatan makanan, keunikan kegiatan budaya serta program-program menarik yang disusun sepanjang kalendar pelancongan 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum melancarkan inisiatif itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta barisan pentadbiran kanan negeri.

Sumber : Kosmo Online