Dari kiri, Yasu Tanaka, Beto Kusyairy dan Bea Tanaka pada sesi ramah mesra dan sidang media selepas tayangan khas filem ‘magiK’ di PORT Ipoh, 14 Oktober lalu. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

Ipoh: Filem di layar perak atau kaca televisyen tidak terhad kepada hiburan penonton semata-mata, namun ia juga berpotensi menjadi medium pencetus kesedaran kepada sesuatu isu yang menjentik hati penonton untuk bertindak.

Itulah kepercayaan yang dipegang kuat oleh pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka dalam penghasilan sebuah lagi filem istimewa mereka berjudul ‘magiK’.

Menariknya, filem kedua mereka menyasarkan komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran dengan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain yang menjadi tunjang filem berkenaan sebagai watak utama.

Yasu yang juga pengarah dan pemilik syarikat produksi filem 42nd Pictures berkata, filem baharunya itu menonjolkan kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan serangga kelip-kelip, seterusnya mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran.

“Isteri saya, Bea ialah bekas guru pendidikan khas untuk golongan masalah pendengaran selama 15 tahun, beliau sangat mahir dengan bahasa isyarat dan masih berhubung dengan golongan istimewa ini.

“Saya mendapat dua idea untuk disatukan iaitu pertama, hubungan Bea dengan komuniti pekak dan kedua minat beliau terhadap alam semula jadi.

“Di situlah timbulnya idea menghasilkan kisah seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip,” katanya.

Yasu dan Bea menganjurkan tayangan khas magiK sepanjang dua bulan berturut-turut di beberapa lokasi terpilih mulai 16 September sebelum filem itu ditayangkan di pawagam pada 30 November depan.

Sementara itu, Bea yang juga penerbit filem berkenaan menzahirkan penghargaan kepada PORT, sebuah agensi kreatif di bawah kerajaan negeri Perak yang sudi menawarkan lokasi dan kemudahan instrumen audio serta vidual bagi tayangan khas bertempat di Ipoh, Perak selama dua hari iaitu 14 hingga 15 Oktober lalu.

Jelas Bea, pihaknya mahu menampilkan perspektif berbeza mengenai kehidupan masyarakat luar bandar yang berdepan kekangan dari aspek pemuliharan alam sekitar, pendidikan, kerenah birokrasi termasuk golongan masalah pendengaran.

“Tayangan pada 14 Oktober lalu dikhaskan kepada rakan-rakan media, manakala 15 Oktober pula dikhaskan untuk kira-kira 50 orang komuniti OKU pekak dan bisu dari sekolah pendidikan khas di Ipoh.

“Kami berterima kasih kepada PORT selaku tuan rumah membenarkan kami menggunakan infra untuk tayangan magiK, sekaligus membantu mempromosikan filem ini.

“Usaha penggiat filem tempatan sememangnya suatu yang harus disokong semua pihak berkepentingan bukan sahaja agensi di peringkat Perseketuan, malah mesti dibantu oleh kerajaan Negeri,” katanya.

PORT yang juga akronim kepada People of Remarkable Talent juga adalah antara agensi peneraju flagship ke-10 Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Pengalaman cetusan ilham Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah segmen Semarak Warisan.

Sumber : Harian Metro Online