IPOH: Dewan Belia Negeri Perak adalah program diwujudkan kerajaan Perak sejak 2016 yang menyasarkan pembabitan anak muda negeri itu untuk menyumbang idealisme dan buah fikiran bagi membina serta memakmurkan negeri.

Program ini bermatlamat melahirkan dan mengasah bakat baharu kepimpinan negeri sebagai generasi pelapis kepimpinan masa hadapan, selain mempertingkatkan keberkesanan saluran bagi belia menyalurkan input kepada proses membuat keputusan berkaitan permasalahan belia.

Ahli Dewan Belia kawasan Batu Kurau, Mohamad Haiqal Hakimi Mohamad Zulkepli, 24, berkata pembabitannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia bagi dua musim sejak setahun lalu, dilihat antara penyumbang bagi pembangunan dasar kerajaan negeri menerusi suara belia seluruh negeri, khususnya di Batu Kurau.

Beliau yang baru menamatkan pengajian sarjana muda, bidang Pengurusan Operasi (Kepujian) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, peranan Dewan Belia terus diperkasakan apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa Ahli Dewan berkenaan akan mewakili kawasan sebagaimana seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebenar, sejak musim lalu.

Katanya, Dewan Belia adalah medan ujian buat perwakilan bagi bersama-sama memastikan isu rakyat, khususnya berkaitan golongan muda dapat dibahas. Ia juga platform terbaik bagi anak muda mengetengahkan cara baharu melihat sesuatu isu dan mempamerkan keterbukaan dalam membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan negeri.

Beliau berkata, dewan itu secara tidak langsung mengajarnya berinteraksi dengan masyarakat tempatan di kawasannya dan juga pemimpin atasan, selain mengetahui protokol perjalanan, prosedur, perbahasan di DUN sebenar, di samping interaksi dalam hal ehwal politik kepartian.

“Pendedahan awal sebegitu memberikan nilai tambah kepada mereka yang terbabit dalam program Dewan Belia dan lebih mudah berurusan serta tidak kekok seandainya, kelak menjadi wakil rakyat kerana sudah berpengalaman.

“Selain itu ia juga membantu membina networking dan belajar secara terus menerusi konsep seakan program ‘mentor dan mentee’ dengan ADUN, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atau EXCO kerajaan negeri menerusi pembabitan aktif dalam pelbagai program dihadiri,” katanya kepada BH.

Mohamad Haiqal yang diletakkan di bawah portfolio jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC, berkata menerusi portfolio itu, beliau boleh mengutarakan suara belia mengenai isu yang kini hangat diperkatakan mengenai perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Hulu Perak.

“Jawatankuasa saya anggotai seperti portfolio Menteri Besar, justeru saya pernah ketengahkan satu usul berdasarkan isu keselamatan berkaitan kekhuatiran belia terhadap penerokaan tanah bagi perlombongan REE di Hulu Perak, yang mana soal Perlombongan Bertanggungjawab adalah antara ‘flagship’ pelan Perak Sejahtera 2030.

“Saya juga ada mengusulkan berkaitan program di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang pernah dimansuhkan ketika pertukaran kerajaan pada 2018, selain isu peluang pekerjaan mengenainya, ” katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun sebagai ahli Dewan Belia perkara lain dipelajari adalah mengenai pembinaan hubungan dengan masyarakat kawasan setempat, termasuk penganjuran program kecil menggunakan peruntukan kecil yang disalurkan kepada ahli dewan terbabit.

DUN Belia Perak adalah yang pertama diwujudkan untuk mengadakan persidangan di DUN sendiri dengan setiap belia terbabit pula akan menggalas tugas sebagai Ahli Dewan Belia selama dua tahun bagi semusim dengan selepas itu, ahli terbabit diletakkan di bawah pemantauan dan pembelajaran di bawah jawatankuasa berdasarkan portfolio EXCO negeri.

Program itu diwujudkan oleh kerajaan Perak di bawah kelolaan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

Menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Pembangunan Modal Insan & Belia tersenarai sebagai antara Keperluan Rakyat selain daripada enam agenda utama yang digariskan.

Sumber : Berita Harian Online