Sebahagian produk inovasi berbentuk Modul dan Kit Pembelajaran ciptaan Ahmad Adnan. FOTO IHSAN AHMAD ADNAN MOHD SHUKRI.
Gerik: “Saya mahu melihat anak murid Orang Asli suku Jahai ini kompetetif dan diterima dunia luar. Itulah pembakar semangat saya dan rakan guru bagi terus berkhidmat di pedalaman,” kata Ahmad Adnan Mohd Shukri, guru mata pelajaran Sains dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang, Royal Belum, di sini.
Ahmad Adnan, 32, yang mula bertugas di sekolah berkenaan sejak 2015 berkata, selain meredah perjalanan berliku ke pedalaman, guru berdepan cabaran utama iaitu mengajar ilmu kepada murid yang memiliki keterbatasan kognitif supaya boleh menerima dan memahami sesuatu topik pembelajaran.
“Tahap kognitif murid Orang Asli subetnik Negrito adalah berbeza berbanding subetnik Melayu Proto dan Senoi,” katanya.
Beliau yang melaksanakan kajian berkaitan bidang pendidikan sains, pendidikan STEM dan pendidikan peribumi Orang Asli dalam kajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah ketika ini berkata, keterbatasan itu berkait rapat dengan faktor pewarisan atau genetik.
“Rata-rata subetnik Negrito seperti Jahai, Kensui, Kintak, Lanoh, Mendriq dan Batek berkahwin sesama suku masing-masing, terlalu malu dan dilihat agak mundur cara hidupnya berbanding subetnik Melayu Proto dan Senoi. Keterbatasan kognitif ini akhirnya menyebabkan rata-rata subetnik Negrito tidak berjaya ditempatkan dalam sektor pekerjaan awam mahupun swasta.
“Bagi suku Jahai di Royal Belum, di sini, kebanyakan penduduk mencari rezeki dengan hanya mengutip hasil hutan seperti madu dan tumbuhan ubat-ubatan serta menangkap ikan,” katanya.
Menurutnya, sebahagian kecil masyarakat Jahai di Sungai Tiang bekerja bersama World Wildlife Fund (WWF) serta ada yang cuba berdikari bekerja kilang di Pulau Pinang, namun majoritinya pulang semula ke perkampungan mereka di Sungai Tiang dalam tempoh yang singkat kemudian bekerja sendiri.
Atas kesedaran itu, Ahmad Adnan mengubah corak pengajarannya dengan menerapkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan berfokuskan kemahiran asas murid seperti menggunting, menggunakan gam, mencantum, memasang alat dan bahan serta menggerakkan objek.
“Biarpun kelihatan mudah bagi masyarakat luar, ia sebenarnya strategi pengajaran melalui pendekatan STEM yang melatih murid berfikir untuk menyelesaikan masalah dunia nyata dengan membina produk penyelesaian.
“Produk yang dibina diuji dengan membuat pemerhatian terhadap fungsinya. Murid yang berpotensi untuk digilap kemahirannya dilatih untuk membina lebih banyak produk sebagai satu produk inovasi.
“Contoh produk terbaru SK Sungai Tiang yang berjaya dikomersialkan ialah minuman probiotik hasil proses fermentasi teh hitam dengan kultur hidup bakteria dan yis, Kombucha yang sudah terjual sebanyak 100 unit (1.3 liter per botol),” katanya memaklumkan produk itu diperkenalkan Jun lalu dan dikaji secara berterusan.
Kemahiran beliau dalam penyelidikan, dimanfaatkan sehingga beliau mampu mencipta produk inovasi pendidikan berbentuk proses pengajaran, modul dan kit yang dibangunkan melalui hasil penyelidikan secara empirikal melibatkan data yang sah dan boleh dipercayai.
Antaranya seperti Modul Celik STEM; Modul Gamifikasi; Celik STEM Pembiakan; Kit Siratan Makanan Berperancah; Kit Pemulihan Konsep Sains; Modul Jahai Sains Tahun 1 hingga 6; Kit Pengawetan Makanan; Kit DIY Kombucha; Kit Cabaran Fateh; Pendekatan STEM-SAJI dan Starting Block Kayu.
Selain itu, Ahmad Adnan yang juga penyelaras unit beruniform pengakap sekolah itu bertanggungjawab menyuntik nilai disiplin, kepemimpinan selain keberanian dalam kalangan murid Orang Asli bagi bergaul dengan masyarakat luar selaras menyahut seruan menjayakan flagship Santuni Orang Asli yang digariskan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Melalui pelan berkenaan, Jabatan Pendidikan Negeri dan JAKOA memainkan peranan sebagai antara peneraju yang bermatlamat kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli di Perak.
“Kejayaan terbaik adalah pada tahun lalu apabila seramai 10 murid SK Sungai Tiang dikalungkan Anugerah Pesuruhjaya Pengakap (RAMBU) Peringkat Negeri Perak, iaitu kejayaan tertinggi bagi pengakap kanak-kanak.
“SK Sungai Tiang menjadi satu-satunya Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) menyertai program perkhemahan pengakap demikian di daerah Hulu Perak,” katanya.
Suku Jahai adalah satu daripada subetnik Negrito iaitu suku kaum yang terkecil berbanding dengan Senoi dan Melayu Proto. Mereka tinggal di Perak, terutama di kawasan Hulu Perak iaitu Banun, Sungai Tiang dan Persisiran Empangan Temenggor.
Berdasarkan semakan Data Taburan Entik Orang Asli Mengikut Negeri di laman web rasmi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Perak mempunyai seramai 61,225 penduduk terdiri daripada masyarakat Orang Asli, di mana pecahan mengikut subetnik adalah Senoi (57,747), Melayu Proto (667) dan Negrito (2,811).
Sumber : Harian Metro Online