Md Shukri ketika ditemui di kedainya di Jalan Pasar, Taiping.

TAIPING: Pernah jatuh dalam perniagaan pembuatan baju jersi sulaman berkomputer hingga terpaksa berhenti daripada menyewa premis kedai, lima tahun lalu, siapa sangka pemilik perniagaan itu kini mampu bangkit kembali hingga memperoleh pendapatan di luar jangka.

Md Shukri Md Radzi berkata, beliau mula menceburi perniagaan dengan membantu beberapa rakannya berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam sekitar daerah Larut, Matang & Selama (LMS) pada 2010 sebelum membuka syarikat sendiri dua tahun kemudian dengan nama syarikat TSR Empayar.

Bermodalkan RM1,200 wang simpanan sendiri, katanya, beliau memberanikan diri untuk memulakan perniagaan baju jersi dan track-suit sendiri dengan berniaga juga di pasar malam sekitar daerah LMS di samping menyertai karnival yang diadakan di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, pada 2015 beliau membuka premis kedai di Kamunting, di sini sebelum terpaksa menutup premis itu pada pertengahan 2018, antaranya atas faktor peningkatan kos operasi dan meneruskan perniagaan di rumah sehingga akhir 2020.

Katanya, tempahan dan permintaan terhadap baju jersi yang semakin meningkat pada penghujung 2020 menyebabkan beliau mengambil seorang pekerja tetap bagi membantu menguruskan tempahan.

“Selepas penghujung 2020, saya memulakan kembali perniagaan dengan menyewa kedai di lokasi baharu di Jalan Pasar dengan turut menawarkan produk yang sama tetapi lebih kepada servis atau perkhidmatan mencetak barangan termasuk baju jersi secara pukal melalui tender seperti daripada jabatan kerajaan, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ketika pandemik COVID-19, tempahan juga sangat kurang namun masih ada permintaan. Mujur operasi perniagaan ketika itu hanya di rumah, jadi saya tidak rasa terbeban sangat kerana tidak perlu membayar banyak kos seperti sewa premis dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Md Shukri berkata, selepas tiga tahun membuka semula kedai di Jalan Pasar, perniagaannya kembali stabil dengan bantuan empat pekerja di samping berbekalkan beberapa peralatan dan mesin untuk pencetakan baju, kertas, pelekat, dan ‘merchandise’ (barang dagangan).

Beliau berkata, situasi luar jangka berlaku apabila beliau mengikuti program latihan dan bimbingan usahawan dinamakan “Business Fundamental Master” (BFM) di bawah kendalian Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bermula Ogos lalu apabila pendapatan kasar syarikatnya meningkat lebih dua kali ganda atau 350 peratus dalam tempoh hanya empat bulan sepanjang mengikuti program berkenaan.

“Pendapatan kasar syarikat sebelum mengikuti BFM atau setakat Jun lalu sekitar RM25,000 sebulan namun pendapatan kasar syarikat saya sepanjang Oktober lalu mencecah RM88,000. Saya pun terkejut juga kerana perkara ini berlaku hanya dalam tempoh empat bulan mengikuti program berkenaan.

“Sebelum ini biarpun memperoleh RM25,000 sebulan, keuntungan bersih yang saya peroleh selepas ditolak kos operasi seperti sewa dan gaji pekerja hanya antara RM2,000 hingga RM3,000. Namun pada Oktober saya dapat mengaut keuntungan bersih mencecah hampir RM30,000,” katanya.

Menerusi BFM, katanya, banyak perkara dipelajari termasuk menstruktur semula perniagaan, pengurusan aliran kewangan, menguruskan pekerja, pengurusan bersistem, cara menyimpan dan kiraan, serta pemantauan berterusan selama empat bulan melalui ‘coaching’.

“Perkembangan kami sentiasa dipantau sepanjang program atau latihan berlangsung bagi memastikan bisnes kami diuruskan dengan cara yang betul dan sistematik. Kini 90 peratus perjalanan bisnes dikendalikan penuh oleh lapan pekerja saya, tidak termasuk dua pelajar yang menjalani latihan industri.

“Sebelum itu lagi, pernah jugalah saya sertai kursus bisnes berbayar secara jangka pendek namun kebiasaannya sejurus kursus tamat, hubungan antara peserta dan pengendali kursus tamat sekadar di situ tanpa bimbingan,” katanya.

Di bawah agenda pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, terdapat dua daripada 18 pemangkin atau program flagship diletakkan di bawah STeP selaku antara penerajunya, iaitu ‘Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat’ serta ‘Membasmi Miskin Tegar 2025’.

Sumber : Berita Harian Online