CHE Wan Alang menunjukkan Chalet Kayuh D’Tonggang yang menawarkan percutian rekreasi dan ekopelancongan di Hulu Kinta di Ipoh. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH: Mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti kampung sendiri menjadi asas tertubuhnya koperasi penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tonggang, Hulu Kinta dekat sini yang meng­usahakan perniagaan chalet.

Tok Batin Kampung Tonggang, Che Wan Alang, 42, menggerakkan usaha itu bersama pasukannya yang menguruskan Chalet Kayuh D’Tonggang, kawasan rekreasi dan ekopelancongan di kampung itu.

Menurutnya, chalet itu mula beroperasi Mei lalu dan mempunyai empat chalet dan empat pondok serta tapak perkhemahan untuk riadah keluarga.

Terletak di tepi sungai, ia merupakan kawasan yang indah dan nyaman, selain komuniti­nya yang mesra.

“Percutian di Kayuh D’Tong­gang, pengunjung boleh merasai pengalaman melakukan aktiviti rekreasi ekopelancongan seperti mandi di sungai, terdapat juga trek untuk peminat sukan basikal bukit atau MTB.

“Pengunjung juga boleh menerokai suasana hutan dengan berjalan kaki menyusuri denai lebih 800 meter. Jika ada permintaan pengunjung, kami akan buat persembahan kebudayaan seperti tarian sewang, menyumpit dan menganyam.

“Sejak beroperasi sambutan pengunjung amat menggalakkan. Percutian di sini menjanjikan kelainan khususnya untuk yang berkeluarga,” katanya.

Menurutnya, chalet itu di­urus­kan oleh beliau bersama pa­sukannya di bawah sebuah koperasi penduduk dan memandangkan sambutan yang menggalakkan, pihak koperasi merancang untuk menambah jumlah chalet.

Katanya, untuk itu koperasi memohon peruntukan daripada kerajaan negeri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Peruntukan itu akan digunakan untuk menambah bila­ngan chalet selain naik taraf seperti tapak perkhemahan untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung.

“Bantuan yang diberikan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani Moha­mad membuktikan kerajaan negeri bersungguh-sungguh membantu masyarakat Orang Asli, se­perti yang digariskan dalam pelan Pe­rak Sejahtera 2030.

“Apabila kawasan di chalet ini sudah dinaik taraf nanti, koperasi akan membuka tapak perniagaan untuk komuniti di sini menjalankan perniagaan di pekarangan chalet ini supaya mereka menjana kewangan.

“Sememangnya menjadi hasrat koperasi semasa memulakan perniagaan chalet ini bukan untuk kepentingan sendiri tetapi lebih kepada komuniti, koperasi hendak menggerakkan perniagaan dalam komuniti di sini,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online