TERDAPAT pelajar di GiatMara Pasir Salak mendapat tawaran kerja sebelum tamat belajar berikutan kemahiran yang mereka miliki mendapat permintaan tinggi daripada majikan.
PASIR SALAK – Kualiti tinggi tenaga kerja berkemahiran yang dilahirkan GiatMara menyumbang kepada peratusan tinggi kebolehpasaran graduannya bekerja dan menjadi usahawan berjaya.
Pengurus GiatMara Pasir Salak, Zakwan Othman berkata, kemahiran diperoleh mereka turut membolehkan para pelajar berdikari sebaik menamatkan pengajian dengan GiatMara.
“Sebagai contoh, di GiatMara Pasir Salak menawarkan dua program iaitu Kursus Baik Pulih dan Mengecat Kenderaan serta Kursus Jahitan Pakaian Wanita.
“Ada dalam kalangan pelajar kami yang sudah pun mendapat tawaran kerja sebelum mereka tamat belajar di sini dan ia membuktikan kemahiran dimiliki mereka amat dicari-cari oleh para majikan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, kursus-kursus yang ditawarkan GiatMara memberi penekanan kepada aspek latihan teknikal dan vokasional (TVET) kerana merupakan satu bidang kerja yang mendapat perhatian ketika ini.
Zakwan berkata, program TVET ditawarkan pihaknya juga selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang mahu menghasilkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan sektor industri tempatan, sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi di negeri ini.
Tambahan pula, katanya, terdapat banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan di negeri ini terutamanya melibatkan bidang kemahiran, justeru GiatMara memainkan peranan penting bagi mengisi kekosongan berkenaan.
“Di sini, kita menerima pelajar seawal usia 15 tahun. Bagi mereka yang masih muda, sebaik menamatkan kursus dalam tempoh enam bulan dan menerima sijil, kita akan bantu mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Sebagai contoh ke tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di GiatMara yang berkaitan. Sebaliknya, jika pelajar kita agak berusia, mereka akan dibimbing agar boleh meneruskan hidup menggunakan kemahiran dipelajari sebagai seorang usahawan,” katanya.
Justeru, katanya, mereka yang berminat menyertai GiatMara boleh terus ke cawangan terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut, selain melayari laman web GiatMara dan Info UPU.
“Antara syarat kemasukan ke GiatMara ialah mereka hendaklah tergolong dalam kalangan bumiputera, sihat tubuh badan, boleh membaca, menulis dan minat (3M), berusia 15 tahun dan ke atas serta berminat dengan bidang yang dipohon.
“Pemohon yang tamat tingkatan 5 dan berusia 18 tahun ke atas pula adalah syarat tambahan untuk menduduki peperiksaan kekompetenan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi kursus Pendawai Elektrik dan Penjaga Jentera Elektrik,” katanya.
Sumber : Kosmo Online