SHAHRUL ZAMAN

IPOH – Pengagihan peruntukan sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang menjadikan Perak sebagai contoh kepada negeri-negeri lain dalam memastikan tiada kawasan atau rakyat terpinggir.

Agihan saksama itu merupakan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sentiasa menitikberatkan kesaksamaan pembangunan rakyat serta kawasan selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menurut ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, pengagihan peruntukan sama rata itu merupakan antara pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan Perak.

“Usaha ini merupakan inisiatif positif yang dilaksanakan oleh kerajaan Perak yang mengambil kira keperluan rakyat tanpa mengira ideologi politik kepartian,” katanya kepada Sinar Harian bau-baru ini.

Tambah Shahrul Zaman, peruntukan ADUN itu amat bermakna kepada rakyat kerana ia boleh digunakan untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi selain melaksanakan program-program kemasyarakatan.

Malah, beliau berharap pengagihan peruntukan ADUN secara saksama itu dapat diteruskan dalam belanjawan negeri itu pada masa depan.

Sementara itu bagi ADUN pembangkang, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menyifatkan penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri itu amat dihargai serta memberi makna besar kepada rakyat.

“Kita (ADUN pembangkang) mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar. Walaupun saya ADUN daripada parti pembangkang, kita tetap menerima peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Bagi saya, itulah yang perlu dilakukan bagi seseorang pemimpin. Walaupun tak sama rata (layanan), tapi sama rasa (peruntukan),” ujarnya.

Menurut Zainol, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak membeza-bezakan wakil rakyat sama ada daripada pihak kerajaan mahu pembangkang.

Ini kerana katanya, seseorang ADUN, mereka dipilih oleh rakyat tidak kira daripada mana parti politik yang mereka wakili.

Dalam Belanjawan Negeri Perak 2023, kesemua 59 ADUN diberikan peruntukan sama rata berjumlah RM300,000 setahun untuk pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program dan bekalan.

Selain itu, RM40,000 lagi disediakan bagi melaksanakan empat program perayaan utama.

Sumber : Sinar Harian Online