Sebahagian kursus yang dijalankan di Kompleks Desa Warisan iGrow di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah.
PASIR SALAK: Institut Agro Usahawan (iGrow) di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah ditubuhkan lebih 15 tahun lalu, antara usaha menjadikan pertanian produk agro pelancongan melalui pembinaan resort di kawasan dusun dan ladang ternakan.
Institut ini kemudiannya, menjadi pelengkap pusat pembangunan modal insan menerusi pelbagai latihan kemahiran dalam sektor pertanian.
Pengerusi Eksekutif iGrow, Nordin Abdul Malek, berkata selain meningkatkan tenaga mahir dalam bidang sekuriti makanan yang kini dianggap kritikal, institut itu turut menjadi perunding keusahawanan sektor pertanian menerusi agenda merakyatkan pertanian atau pertanian komuniti.
Menurutnya, Program My Kampung My Future (MKMF) bermatlamat membangunkan kampung secara bersepadu melalui pembangunan seimbang ekonomi dan sosial.
Pelbagai kegiatan ekonomi berasaskan pertanian dan bukan pertanian dilaksanakan di kampung, termasuk di mukim Pulau Tiga dan terletak di iGrow, serta memberi nilai tambah.
“iGrow adalah pusat latihan kemahiran sektor pertanian ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Ini bererti ia hampir menyamai seperti kolej atau institut latihan pertanian milik kerajaan memandangkan pensijilan yang sama.
“iGrow selain salah satu produk pelancongan bidang pertanian khususnya, di daerah Perak Tengah dan turut berperanan sebagai perunding keusahawanan sektor pertanian yang membabitkan beberapa negeri termasuk Sabah, Johor, dan Kedah dengan konsep merakyatkan pertanian,” katanya.
Menurutnya, bagi menjayakan agenda pertanian secara kompetitif bertaraf dunia, gerak kerja ke arah itu mesti dimantapkan menerusi kewujudan pelbagai kemudahan dan akses moden terutamanya, aspek pembangunan infrastruktur asas termasuk capaian liputan internet.
Katanya, capaian internet penting dalam mencorakkan landskap baharu sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
“Melangkah ke penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), ‘smart farming’ (pertanian pintar), internet kebendaan (IoT) dan seumpamanya, maka capaian internet yang baik perlu di kawasan pertanian atau ladang yang sebahagian besarnya terletak di desa atau pedalaman,” katanya.
Katanya, iGrow terletak di keluasan kira-kira 3.23 hektar terkehadapan dan sejak awal dibangunkan, ia dilengkapkan dengan teknologi baharu antaranya mengguna pakai kaedah fertigasi, automasi, selain memperkenalkan konsep ladang integrasi.
“Kita melatih generasi baharu dengan sistem dan kaedah pertanian komersial berpandukan kepada moto kami iaitu ‘Transformasi Pertanian Generasi Baru,” katanya.
Menurutnya, kini iGrow membangunkan program ‘Pertanian Insaniah” yang menyasar untuk menyatukan golongan asnaf selain institusi pengajian keagamaan seperti sekolah agama di daerah Hulu Perak dalam projek pertanian dengan menerapkan konsep diguna pakai di iGrow iaitu di Pulau Tiga, Kampung Gajah.
“Sebelum ini program sama kami bangunkan di Bagan Datuk namun yang terbaharu di Lenggong dan Gerik di Hulu Perak. Kami satukan pesertanya dalam program ‘Pertanian Insaniah’ yang modelnya diambil sama seperti di iGrow Pulau Tiga dan ia sudah berjalan,” katanya.
Mengenai pelan seterusnya, Nordin berkata pihaknya masih menunggu kelulusan perolehan tanah kerajaan bagi pembinaan sebuah lagi kompleks pertanian baharu di Kampar yang berciri futuristik terutama segi kemudahan dan capaian teknologi bagi rancangan mengembangkan lagi sektor pertanian lebih moden.
“Pembangunan pertanian berkaitannya tidak lagi boleh dilaksanakan di tapak sedia ada di Pulau Tiga kerana kawasan itu sudah tepu dan tidak diliputi capaian internet yang bagus. Kita syorkan buat satu lagi kompleks di Kampar yang tapaknya sudah dikenal pasti dan merujuknya kepada Pejabat Tanah,” katanya.
Agenda keterjaminan atau sekuriti makanan adalah salah satu ‘flagship’ di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia.
Sumber : Berita Harian Online