FAUZILA Haron merancang meluaskan pasaran kuih Putu Perak hingga ke luar negara. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH: Sejak 1991, Fauzila Haron, 48, terus bersemangat menghasilkan Putu Perak, yang merupakan antara kuih warisan tradisional orang Perak.

Berbekalkan ilmu daripada ibunya, dia yang memulakan perniagaan dengan menjual secara kecil-kecilan di Teluk Intan, kini meneruskan penghasilan kuih tersebut menerusi jenama Zie Putu Perak.

Malah dia tidak lagi sekadar menjual di bahu jalan mahupun pasar, tetapi sudah memasuki fasa komersial seperti mempunyai kilang pengeluaran, menggunakan mesin memasak moden, dijual secara sejuk beku atau tepung yang sudah dibancuh.

Apa yang lebih menarik, kesungguhannya itu mendapat perhatian apabila turut dijadikan sebahagian daripada muka hadapan dalam inisiatif Tahun Melawat Perak 2024.

“Ramai yang tidak biasa makan kuih ini, ini antara cabaran menghasilkan kuih tradisional. Bagaimanapun, dengan usaha menyertai pelbagai pameran promosi, ramai yang sudah kenal dan suka kuih ini,” katanya.

Kuih itu dahulunya turut dikenali sebagai Putu Cawan kerana cawan dijadikan acuan. Antara teknik lama yang diamalkan, kuih itu dikukus menggunakan tin susu.

Putu Perak adalah warisan turun temurun negeri Perak dengan menggunakan bahan seperti padi huma, padi pulut dan kelapa. Penghasilan kuih itu juga sudah diolah mengikut citarasa moden.

Fauzila optimis Putu Perak kekal diminati ramai apabila masyarakat semakin mencari kuih-kuih tradisi orang Melayu dan pihaknya turut memberi latihan kepada orang ramai yang berminat menjual kuih tersebut.

“Kami mempunyai rancangan untuk meluaskan lagi pasaran kuih ini, termasuk ke luar negara. Syarikat kami, Zies Taste Manufacturing (M) Sdn. Bhd. sedang mendapatkan semua piawaian yang diperlukan bagi mencapai hasrat ini,” katanya.

Katanya, syarikatnya turut mendapat perhatian agensi kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pusat bagi membantu mengembangkan perniagaan Putu Perak, termasuk dibawa menyertai pameran-pameran dalam dan luar negara bagi membantu usahawan sepertinya di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.

Jelasnya, antara agensi kerajaan negeri yang membantu menaikkan Putu Perak ialah SME Corp. Perak serta  Sekretariat Usahawan dan Wanita Perak dan agensi Pusat termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, FAMA, Tourism Perak, Amanah Ikhtiar Malaysia, Tekun Nasional, Mara, Pernas, PUNB dan Sirim.

Sumber : Utusan Malaysia Online