Kuak Hill Resort yang dikelilingi kehijauan menggamit pelancong.

Lenggong: Pemandangan alam semula jadi memukau di Kuak Hill Resort, Kampung Kuak, Lata Papan, di sini bukan hanya memanfaatkan pengusahanya, malah turut memberi limpahan rezeki kepada penduduk kawasan sekitar.

Faktor unik geografi resort berkenaan yang terletak di atas bukit dengan kebanyakan bilik dan khemah berkonsepkan glamping tanpa ada sebarang halangan pemandangan lain iaitu Banjaran Titiwangsa di depan dan Banjaran Bintang di belakangnya boleh dinikmati sepuasnya, khusus buat pencinta keindahan alam semula jadi.

Pengurus resort, Mohd Azrul Nizam Aziz, 40, berkata bermula dengan hanya tiga unit vila kecil, selain satu kolam beriadah sewaktu resort berkenaan diambil alih oleh pengurusan terbaharu sejak 2018 dan memulakan operasi secara rasmi pada akhir 2019, kini Kuak Hill Resort dibangunkan hingga mempunyai lapan vila di samping enam tapak perkhemahan berkosep glamping.

Beliau berkata, keunikan kawasan Lembah Lenggong itu sendiri yang kaya pelbagai khazanah warisan semula jadi sehingga mendapat pengiktirafan dunia termasuk dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menambah lagi kelebihan buat penggiat industri pelancongan di kawasan sekitarnya.

Katanya, selain menawarkan penginapan terdapat beberapa tarikan lain di resort itu antaranya kolam renang berkonsepkan infiniti yang menghadap Banjaran Titiwangsa dan bersumberkan air mengalir dari bukit; kawasan untuk berjoging; perkhidmatan mengembara menggunakan kenderaan ATV; kafetaria; mandi-manda di anak sungai; zoo mini dan dusun buah.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada Tourism Perak selaku agensi negeri yang memfokuskan kepada promosi dan pemasaran entiti pelancongan di Perak serta turut memberi peluang kepada pihaknya untuk mengambil bahagian dalam pelbagai program dianjurkan.

Ia termasuk dalam usaha mempromosikan pakej pelancongan, terutama susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara sebelum ini.

Beri limpahan ekonomi

Beliau berkata, kerjasama serta sokongan muafakat penduduk Kampung Kuak dengan pihaknya juga menambahkan seri kawasan itu sebagai kawasan ekopelancongan, sekali gus geopelancongan. Contohnya, penduduk berpeluang mengusahakan dua tapak parkir bagi kenderaan yang hendak ke resort itu.

“Untuk ke resort dari kaki bukit yang berjarak kira-kira satu kilometer (km), ia memerlukan pengunjung menaiki pengangkutan pacuan empat roda yang disediakan pihak resort.

“Dengan kawasan parkir yang diusahakan sepenuhnya penduduk Kampung Kuak ia secara tidak langsung membantu meningkatkan taraf sosiekonomi penduduk setempat,” katanya kepada BH.

Usaha itu dilihat sejajar dengan matlamat yang digariskan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, untuk memajukan industri pelancongan termasuk pelancongan eko dengan Tourism Perak diletakkan sebagai antara agensi penerajunya; selain turut meletakkan Lenggong Geopark sebagai antara agenda yang hendak dicapai menerusi flagship atau inti pati ‘Ekonomi Pengalaman’ Perak Sejahtera 2030.

Katanya, pengalaman mengurus dan mengendalikan resort berkenaan turut menarik perhatian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang menawarkan kerjasama pihaknya bagi membangunkan sebuah lagi resort berkonsep serupa di lokasi kira-kira 15km dari situ.

Bagaimanapun, katanya kerjasama itu masih pada peringkat perbincangan awal dan belum dimuktamadkan.

Sumber : Berita Harian Online