Saarani bercakap pada sidang akhbar di Ipoh hari ini. – Foto MBI

Ipoh: Kerajaan negeri Perak sudah memohon moratorium bagi penangguhan larangan eksport keluar bahan mentah unsur nadir bumi (REE) lantanid sehingga garis panduan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan berhubung perkara itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya sudah berbuat demikian menerusi mesyuarat dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Menurutnya, sebagai negeri pertama menjalankan projek rintis perlombongan itu, Perak mula menjual bahan mentah itu mengikut SOP sejak Januari lalu bagi menentukan sama ada berbaloi atau tidak perlombongan REE itu dijalankan.

“Untuk tahu berbaloi atau tidak, kita kena jual dan sehingga kini di Malaysia belum ada lagi tempat pemprosesan REE terbabit.

“Buat masa ini juga Perak adalah satu-satunya negeri yang sudah pun mengeluarkan hasil (REE) itu. Kalau kita tidak menjualnya sekarang, apa hendak dibuat dengan hasil perlombongan yang sudah diperoleh itu? Takkanlah hendak dibazirkan sahaja?,” katanya selepas Majlis Perasmian Ulang Tahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta & Pelancaran International Geopark Run 2024 @ Ipoh Low Carbon Day di Dataran Bandaraya Ipoh, di sini hari ini.

Saarani berkata sebagai negeri pertama di negara ini yang menjalankan projek rintis perlombongan itu, Perak mula menjual bahan mentah itu mengikut SOP sejak Januari 2023.

Oleh itu pihaknya menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri melanggar peraturan dasar kerajaan pusat apabila mengeksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) ke China.

“Dasar larangan eksport yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pada 11 September lalu iaitu 10 bulan selepas hasil mentah lantanid dilombong di Mukim Kenering, Hulu Perak dieksport,” katanya.

Beliau berkata demikian diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoalkan tindakan kerajaan Perak mengeksport REE ke China.

“Walapun dikatakan semua negeri ada REE tetapi hanya Perak yang dibenarkan meneroka dan melombong lebih awal. Negeri lain, mereka perlu melalui beberapa lagi proses dan SOP yang perlu dipatuhi sebelum dapat mengeluarkan hasil perlombongan itu sedangkan Perak sudah ada semuanya.

“Permohonan moratorium ini adalah salah satu yang diusulkan kerajaan negeri kepada NRECC. Selain itu kita memohon pembinaan platform pemprosesan berpusat (CPP) REE serta pembinaan kilang yang berperanan sebagai aktiviti industri hiliran bagi penghasilan semi-produk serta produk akhir yang lebih bernilai tinggi berbanding hasil produk mentah.

“Kalau kita tidak dibenarkan menjual, bermakna kena ada kilang sendiri (di Malaysia). Oleh itu kita minta diberi beberapa keutamaan itu. Saya tak fikir kita melanggar apa-apa perundangan memandangkan bahan mentah perlombongan itu kita sudah ada,” katanya.

Kata Saarani, projek perintis perlombongan REE lantanid di Mukim Kenering berkeluasan keluasan 87 hektar sudah menjana hasil royalti RM16 juta kepada kerajaan negeri dan bakal menghasilkan royalti sebanyak RM21 juta setakat Disember nanti.

Sumber : Harian Metro Online