Dataran Waterfront Bagan Datuk menjadi tumpuan pengunjung selepas Jambatan Sultan Nazrin Shah dibuka kepada orang ramai.
BAGAN DATUK – Pembukaan Jambatan Sultan Nazrin Shah pada 7 Oktober lalu telah membuka fasa baharu buat rakyat di Bagan Datuk apabila mereka mula menerima limpahan ekonomi di sebalik pembangunan itu.
Dengan kos pembinaan sebanyak RM460 juta dengan jarak 1.5 kilometer, jambatan itu telah memendekkan perjalanan di antara pekan-pekan kecil sekitar pekan Bagan Datuk dengan kawasan-kawasan kampung di daerah Perak Tengah dan lain-lain kawasan di daerah Manjung.
Limpahan itu dikongsikan seorang peniaga, Muhammad Danial Syazuwan Rosli, 24, apabila dia menyifatkan pembukaan jambatan tersebut merupakan rahmat buat penduduk di Bagan Datuk.
Berkata kepada Sinar Harian, dia yang memulakan perniagaan menjual makanan dan minuman pada awal Januari lalu, mendapati hasil pendapatannya amat memberangsangkan dengan nilai jualan hampir RM1,000 sehari.
“Sebelum jambatan ini dibuka, jualan saya hanya sekitar RM100 sehari. Memang banyak beza sebelum dan selepas,” katanya yang turut memberitahu kehadiran orang luar ke pekan Bagan Datuk bertambah sejak jambatan itu dibuka.
Tambahnya, peniaga-peniaga lain di tempatnya berniaga juga didapati semakin ramai sekali gus memberi pendapatan kepada masyarakat di kawasan itu.
Sementara itu, seorang penduduk, Osman Hamzah, 49, berkata, pembukaan Jambatan Sultan Nazrin Shah memberikan impak besar kepada penduduk dan pembangunan di daerah Bagan Datuk.
Katanya, kewujudan infrastruktur pendidikan seperti Politeknik Bagan Datuk, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk, Kompleks Sukan Bagan Datuk dan sebagainya turut menyebabkan kehadiran orang ramai ke daerah itu semakin bertambah selain kehadiran para pelancong.
“Bagan Datuk ini ada banyak tarikan seperti Dataran Waterfront Bagan Datuk, Taman Bunga Matahari Sungai Burung, Beting Beras Basah dan sebagainya. Ada juga beberapa produk ekopelancongan yang boleh dibangunkan penduduk setempat seperti di kawasan kelip-kelip di Sungai Dulang,” jelasnya.
Malah, dia turut yakin dengan pembangunan di Bagan Datuk akan terus memberi manfaat kepada rakyat di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Ahli Parlimen kawasan itu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Kelab Silaturahim Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh berkata, kewujudan Jambatan Sultan Nazrin Shah itu disifatkan sebagai kemuncak kepada pembangunan Bagan Datuk.
Malah, jambatan itu kini katanya menjadi akses kepada orang ramai yang ingin merasai pengalaman berada di daerah Bagan Datuk sama ada melawat tempat-tempat menarik selain menikmati pelbagai makanan tempatan.
Melihat perkembangan positif tersebut, beliau yakin pembangunan Bagan Datuk itu menurutnya berada di landasan yang baik hasil inisiatif Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melaksanakan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030.
Sumber : Sinar Harian Online