Masjid Panglima Kinta semai minat pertanian bandar

IPOH: Masjid tertua di Perak yang berusia 125 tahun iaitu Masjid Panglima Kinta, di sini masih beroperasi dan peranannya dikembangkan dengan pelbagai aktiviti, termasuk pertanian bandar atau urban farming.

Bagi melaksanakan projek itu, ruang dalam pekarangan masjid itu dimanfaatkan dengan tanaman secara akuaponik membabitkan tanaman kontan seperti kucai, pudina, daun bawang, bayam, sawi, pak choy, dan sebagainya, sekali gus menjadi antara tarikan pengunjung ke masjid itu sejak kira-kira dua tahun lalu.

Bendahari Masjid Panglima Kinta, Nasir Ismail, berkata projek pertanian bandar yang diusahakan hasil usaha sama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) itu menggabungkan agrikultur dan akuakultur apabila air kolam ikan digunakan bagi mengairi tanaman serta menjadi baja semula jadi kepada tanaman.

Katanya, hasil tuaian tanaman berkenaan tidaklah besar serta tidak berorientasikan keuntungan, namun dengan mempelbagaikan aktiviti masjid, bangunan warisan itu kian dikenali ramai menerusi sektor ‘pelancongan Islamik’.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung menyuburkan minat orang ramai terhadap pertanian yang penting kepada agenda sekuriti makanan.

“Projek ini bukan bersifat komersial, sebaliknya hasil tuaiannya kita agihkan secara percuma kepada pengunjung masjid. Bagi pihak masjid, apa yang ditumpukan adalah membantu kerajaan negeri memperkasakan lagi sektor pelancongan di sini.

“Pertanian bandar yang dibuat sebenarnya lebih kepada usaha mendidik komuniti serta pengunjung mengenai pertanian bandar tanpa kaedah konvensional. Ini memberi nilai tambah kepada masjid, selain peranan sebagai pusat ibadat, pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat sejak sekian lama,” katanya kepada BH.

Difahamkan, Masjid Panglima Kinta yang dibina pada 1898 dan diisytiharkan sebagai Bangunan Warisan pada 2012 adalah masjid kelima di Perak yang menjalankan projek pertanian bandar bersama Perak SADC atau dikenali sebagai Urban Farming Community (UFC).

Nasir berkata, selain pertanian bandar, Masjid Panglima Kinta turut mempunyai elemen lain seperti kafe, rumah kucing dan mini galeri Panglima Kinta yang memberi nilai tambah kepada masjid ini dan juga sebagai usaha memartabatkan masjid itu sebagai warisan ikonik.

“Memandangkan masjid ini adalah bangunan warisan ikonik di Ipoh, ia turut mendapat perhatian ramai dan menjadi antara satu daripada destinasi pelancongan. Oleh itu, bagi pihak masjid kita cuba mempelbagaikan aktiviti supaya dapat mengimarahkan selain memartabatkannya sebagai antara warisan, termasuk dalam memperkasakan pelancongan negeri,” katanya.

Mini galeri yang terdapat di masjid itu turut digelar sebagai ‘Taj Mahal Ipoh’ dan ia adalah mengenai susur galur Datuk Panglima Kinta, Muhammad Yusuff yang pernah dikenali sebagai individu terkaya di Tanah Melayu suatu ketika dahulu, selain galeri infomasi bandar Ipoh merentas masa dulu dan kini.

Agenda keterjaminan atau sekuriti makanan adalah satu daripada ‘flagship’ di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia.

Selain itu, pelan Perak Sejahtera 2030 turut menggariskan agenda Semarak Warisan di bawah ‘flagship’ Ekonomi Pengalaman, dengan antara agensi bertanggungjawab sebagai peneraju hasrat itu adalah Tourism Perak Management Berhad (Tourism Perak).

Sumber : Berita Harian Online