Shahril Ridhwan menunggang kuda yang disediakan KRT Kariah Taman Tasek Putra. – Foto Shahril Ridhwan
BATU GAJAH: Peranan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) tidak wajar hanya dilihat membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial khususnya menerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) tetapi turut memberi penekanan terhadap pelaksanaan pelbagai program pembangunan bagi kesejahteraan komuniti.
Ini dibuktikan KRT Kariah Taman Tasek Putra, Tronoh, di sini yang aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi manfaat 3,000 penduduk setempat yang meliputi lima kawasan taman perumahan. Aktiviti itu termasuk menyantuni keluarga asnaf, program menyemai perpaduan dalam kalangan penduduk, dan seumpamanya.
Lebih menarik, KRT itu yang ‘menjaga’ perumahan Taman Tasek Putra, Taman Tronoh Universiti, Taman Awan Tronoh, Taman Tronoh Awana, dan Taman UniPark menubuhkan kandang kuda dinamakan KRT Stable seluas 0.1 hektar yang menempatkan tiga kuda bagi kegunaan aktiviti komuniti.
Pengerusi KRT Kariah Taman Tasek Putra, Shahril Ridhwan Jalaludin, berkata lebih membanggakan apabila KRT Stable berkenaan memperoleh pengiktirafan daripada Majlis Ekuin Malaysia (MEC) iaitu bagi pengiktirafan kerjaya industri berkuda di Malaysia selain peranannya menerusi majlis berkenaan pada 5 Oktober lalu.
Menceritakan penubuhan kandang itu, Shahril Ridhwan berkata, seorang pemilik kuda yang menyertai SRS ingin bersara bergiat dalam industri kuda, justeru pihaknya mencadangkan agar kuda itu ‘dijaga’ oleh KRT untuk dimanfaatkan bersama komuniti.
“KRT berusaha mencari tempat dalam kawasan taman perumahan dan kami bertuah kerana ada pemilik tanah sudi membenarkan tanah miliknya dijadikan tapak penubuhan KRT Stable tanpa dikenakan sebarang bayaran demi untuk aktiviti komuniti.
“Selain menunggang kuda secara ‘joy ride’ yang lazim diadakan setiap petang, turut diadakan di tapak sama adalah aktivti memanah buat ahli komuniti. Caj bayaran dikenakan bagi semua aktiviti ini hanya untuk menanggung kos makanan tiga kuda berkenaan,” katanya.
Komuniti Perak Sejahtera yang di bawahnya diletakkan KRT, adalah satu daripada 18 ‘flagship’ pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) diletakkan sebagai agensi penerajunya.
Kata Shahril Ridhwan, KRT dipengerusikannya aktif menjalankan pelbagai aktiviti termasuk pembabitan dalam setiap program ‘wajib’ dalam kalendar tahunan JPNIN, selain mengadakan sukan harian yang mampu memupuk teras perpaduan antara komuniti kejiranan sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Begitu juga setiap sambutan utama seperti Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, dan sebagainya sentiasa kita ikuti, selain meraikan perayaan pelbagai kaum bagi mengukuhkan perpaduan kejiranan.
“Kita sedar ada KRT di negara ini khususnya yang tidak aktif adalah disebabkan kurang diminati dan disertai golongan muda. Jadi selain aktif dengan aktiviti kemasyarakatan seperti menyantuni keluarga asnaf memerlukan, KRT di sini turut membentuk pasukan tunas muda.
“Kami mengisytiharkan setiap ahli kariah berumur 17 tahun ke bawah sebagai tunas muda KRT di sini yang antara lain bertujuan memudahkan lagi pemantauan bagi menghindari mereka terjebak gejala negatif seperti ‘mat rempit’ dan sebagainya.
“Melalui aktiviti sukan seperti bola sepak, sepak takraw, bola tampar dan lain-lain pada setiap petang, kita sentiasa dapat terus berhubung dengan golongan muda bagi mencapai matlamat dimaksudkan,” katanya.
Menurutnya lagi, lokaliti penempatan kawasan KRT itu yang berdekatan dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) turut memberi nilai tambah kepada komuniti di situ.
“Surau kita pun sentiasa penuh dipenuhi jemaah termasuk dari kalangan pelajar asing dari UTP hinggakan wakil rakyat kawasan ini mengisytiharkan surau kawasan kami sebagai ‘surau antarabangsa’.
“Malah, sudah dua tahun berturut-turut KRT kami diiktiraf menerusi anugerah dari Balai Polis Tronoh kerana sifar jenayah, sekali gus kami turut membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online