Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan replika dana bantuan infrastruktur dan pembangunan padi selepas merasmikan Penutupan Perak Agrofest 2023 di Ladang Infoternak Sungai Siput (U) di sini pada Ahad.
SUNGAI SIPUT – Penambahan kawasan penanaman baharu antara usaha yang dilakukan kerajaan Perak bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu saranan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memastikan beras di dalam negara mencukupi.
Menurutnya, ketika ini Perak mempunyai dua jelapang padi iaitu di Kerian dan Seberang Perak yang mempunyai pengeluaran hasil sebanyak lima kali dua tahun.
“Sebenarnya hasil padi untuk negeri Perak cukup untuk kita, tapi kita perlu menyediakan peluang untuk rakyat negeri lain. Sebab itu kita berusaha seperti mana dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya kita menambah keluasan tanaman padi, menggunakan teknologi moden dan menambah bilangan pusingan.
“Sekarang ini kita keluarkan hasil lima pusingan untuk dua tahun. Jadi itu di antara usaha dibuat bagi menyediakan beras tempatan yang mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Perak Agrofest 2023 di Ladang Infoternak Sungai Siput (U) di sini pada Ahad.
Sementara itu, Saarani mengingatkan peniaga supaya berlaku adil kepada pengguna dengan tidak membungkus semula beras tempatan sebagai beras import.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan beras tempatan di pasaran mahal kerana tidak mencukupi.
Mengenai penganjuran Perak Agrofest 2023, Saarani berkata, program tersebut kembali diadakan di Ladang Infoternak selepas 10 tahun.
Katanya, sebelum ini program tersebut diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng namun diadakan semula di Ladang Infoternak atas permintaan ramai.
Dalam pada itu, Saarani dalam ucapannya berkata, penganjuran Perak Agrofest pada tahun ini menjadi platform untuk meraikan sektor pertanian selain menimba ilmu bermanfaat bagi memperkasakan lagi industri asas tani.
Sumber : Sinar Harian Online