Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak. – Foto fail ihsan Astro Awani
IPOH: Kerajaan Perak sentiasa komited menyelesaikan isu tuntutan sekumpulan setinggan pertanian yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata dakwaan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa adalah tidak benar memandangkan kerajaan negeri melalui perbadanan itu telah mengadakan siri rundingan serta libat urus bagi menyelesaikan isu berkenaan yang sudah berlarutan selama lebih 11 tahun.
“Peruntukan lebih RM700,000 telah dibelanjakan bagi mewujudkan kawasan baharu sebagai lokasi alternatif untuk aktiviti pertanian, namun tawaran itu ditolak oleh kumpulan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ia susulan laporan sekumpulan petani di negeri ini mengadakan protes di luar bangunan Parlimen, Kuala Lumpur Selasa lalu meminta kerajaan campur tangan dalam rancangan kerajaan negeri menukar kebun mereka menjadi kawasan perindustrian dan perumahan.
Kumpulan yang mendakwa mewakili 250 petani di Perak itu berkata kawasan seluas 1,600 ekar berkenaan telah diusahakan untuk hasil tanaman sejak lebih 80 tahun lepas.
Mengulas lanjut, Redza Rafiq berkata PKNPk turut menerima memorandum daripada penduduk setempat termasuk di Taman Chepor Sentosa, di sini yang mengadu sering berdepan bencana serta kemusnahan harta benda akibat banjir kilat susulan aktiviti pertanian tidak terkawal di kawasan berkenaan.
“Perlu dijelaskan bahawa Kerajaan Negeri Perak sentiasa komited memastikan ketersediaan sumber makanan mencukupi.
“Malah Perak adalah negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai usaha bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import,” katanya.
Redza Rafiq berkata aspek keterjaminan makanan menjadi salah satu daripada enam agenda utama pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang menggariskan pelbagai inisiatif memperkasa industri asas tani, termasuk penubuhan Akademi Sekuriti Makanan dan pembinaan hub daging halal.
“Kerajaan Negeri Perak amat menitikberatkan peri pentingnya amalan dan prosedur perancangan serta penggunaan tanah yang betul dan kekal komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang serta memastikan penggunaan sumber tanah yang adil dan saksama,” menurut kenyataan itu lagi.
PKNPk adalah agensi utama kerajaan yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sosioekonomi di Perak.
Sumber : Berita Harian Online