Perkampungan Orang Asli di Pos Kuala Mu, di Sungai Siput menjadi antara lokasi tarikan pelancongan di Perak. Foto hiasan BERNAMA

KAMPAR: Satu jawatankuasa khas akan dibentuk dalam masa terdekat bagi memfokuskan kepada peningkatan capaian rangkaian jalur lebar khususnya di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi, berkata jawatankuasa itu akan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang komunikasi dan pelancongan bagi memastikan perkara berkenaan berjaya direalisasikan.

“Kita sedar ada beberapa kawasan yang tersenarai sebagai produk pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2024, namun liputan jalur lebarnya sangat lemah dan mungkin tidak mampu diakses.

“Jadi, kita akan bentuk satu jawatankuasa bersama pihak EXCO di bawah portfolio pelancongan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tourism Perak dan Digital Perak untuk meneliti perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan peralatan sukan kepada pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar, Nurfarisha Karmila Shamsol Riduan, di sini hari ini.

Nurfarisha Karmila, 16, yang juga tonggak skuad Bawah 17 tahun (B-17) Malaysia, bakal mewakili kelab Feminine FC dari Perak pada Kejohanan Pearl Cup 2023 di Pulau Pinang bermula 15 hingga 17 September ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata, melalui jawatankuasa itu, pihaknya juga akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee supaya menyenaraikan lokasi yang mengalami masalah capaian jalur lebar.

“Setelah saya dapat input, dari situ kita kenal pasti jumlah peruntukan bajet yang kita perlukan. Maknanya kita akan ada perancangan dalam jangka masa pendek serta panjang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azlan berkata, pihaknya tidak menolak akan memperbanyak inisiatif rentas portfolio bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) lain yang bertujuan memberi manfaat kepada rakyat merentasi pelbagai lapisan masyarakat.

“Pendekatan seumpama mampu mempelbagaikan lagi aktiviti serta program yang lebih berdaya saing dan memberi nilai tambah positif kepada masyarakat berbilang bangsa di negeri ini,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online