Chin How mengusahakan pembenihan ikan arowana di Kampung Bendang Kering, Kuala Kangsar. – Foto Perak SADC

KUALA KANGSAR: Pinjaman tanpa faedah daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sebanyak RM32,000 memberikan khabar baik buat pengusaha pembenihan ikan arowana di sini yang terjejas teruk susulan pandemik COVID-19 sejak lebih tiga tahun lalu.

Leong Chin How, 46, yang mengusahakan akuarium penetasan telur ikan di kawasan kebun dekat Kampung Bendang Kering, di sini, sejak tujuh tahun lalu, berkata wang pinjaman itu dimanfaatkan sebaiknya bagi membeli segala aksesori berkaitan seperti akuarium, tong gentian dan pam akuarium.

Beliau berkata, perusahaannya dikenali, Leong Chin How Arowana Enterprise terjejas teruk ketika pandemik bermula, khususnya apabila negara China iaitu antara negara paling banyak permintaan bekalan ikan arowana menutup pasaran luar ketika itu.

Kemudian, ia disusuli tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara ini.

“Disebabkan COVID-19, saya menanggung kerugian yang banyak, terutama ketika China menutup pasaran mereka. Kira-kira setahun jugalah saya tiada pendapatan sebelum meminjam dengan Perak SADC ketika pandemik beransur pulih sejak dua tahun lalu,” katanya kepada BH.

Chin How berkata, permintaan terhadap ikan arowana adalah tinggi khususnya dalam kalangan penggemar ikan hiasan. Ini kerana keunikan fizikal dan sisik ikan air tawar itu atau nama saintifiknya, scleropages fomosusturut begitu menarik perhatian peminatnya.

Mengenai perkhidmatan pembenihan ikan arowana diusahakan, katanya beliau membiak telur ikan yang diperoleh daripada pengusaha ladang kolam ternakan Arowana di Bukit Merah dekat daerah Kerian.

Kebanyakan benih telur itu dihantar semula ke ladang ternakan terbabit atau dijual kepada pihak lain.

Beliau berkata, ‘makmal’ diusahakan mampu menetaskan purata antara 50 hingga 200 anak ikan arowana sebulan, yang mana ia dijual semula dengan harga bermula RM60 hingga RM190 seekor, bergantung kepada saiz serta jenis baka.

“Selepas berjaya memperoleh baka atau benih ikan yang sudah disenyawakan daripada penternak, ia akan dimasukkan dengan pengudaraan serta oksigen secukupnya di dalam tangki makmal selama beberapa hari. Namun, tidak semua benih ikan itu akan hidup kerana ada juga yang mati.

“Ikan itu kemudian disimpan di dalam tangki dan dijaga rapi, termasuk menutupnya dan memastikan ia dapat menghindari cahaya yang boleh menjejaskan kecantikan ikan berkenaan dan harganya.

“Ia disimpan sehinggalah saiz ikan itu mencecah antara lapan hingga sembilan inci dan sesuai untuk dijual,” katanya.

Perak SADC diletakkan sebagai agensi peneraju menerusi ‘flagship’ Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan), termasuk di bawah segmen Hab Agropelancongan dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber : Berita Harian Online