Saarani menandatangani plak pada majlis Perasmian Projek Solar Toyo Tyre Malaysia di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya hari ini – Foto BERNAMA

TAIPING: Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd memperuntukkan pelaburan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan Projek Solar Toyo Tyre yang menjadi teras utama dalam mengoptimumkan sepenuhnya penggunaan tenaga boleh diperbaharui di kilang milik syarikat berkenaan menjelang Januari 2025.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kos berkenaan membabitkan pemasangan sebanyak 26,044 unit panel solar di atas bumbung kilang syarikat itu membabitkan keluasan sekitar 96,000 meter persegi.

“Projek Solar Toyo Tyre adalah projek solar yang terbesar di negeri ini dan ia memenuhi prinsip ketiga Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu membabitkan penggunaan sumber dan alam semula jadi secara lestari.

“Usaha ini juga seharusnya dipuji dan boleh dicontohi oleh kilang-kilang lain di negeri ini bagi mengurangkan jejak karbon sekali gus bersama-sama memulihara alam sekitar melalui penggunaan tenaga bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Projek Solar Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd yang turut dihadiri lebih 200 tetamu kehormat.

Saarani berkata, kerajaan negeri juga menjalankan kerjasama strategik dengan beberapa syarikat swasta bagi pembangunan tenaga solar di Perak.

“Antaranya termasuklah projek solar berskala besar berkapasiti 50 megawatt Ranhill Solar 1 Sdn Bhd di Ladang Bikam, Bidor dan pembangunan ladang solar berkapasiti 1.5 megawatt oleh Syarikat Majuperak di Simpang Pulai.

“Pembangunan untuk projek yang sama turut melibatkan usaha sama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan syarikat Gading Kencana Sdn Bhd dengan pelaburan RM150 juta di Bidor,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan negeri sedang mengenal pasti lokasi yang memerlukan pemasangan lampu jalan solar pintar dan menyasarkan pemasangan 1,000 unit lampu jenis itu secara berperingkat di kawasan pedalaman termasuk di perkampungan Orang Asli di seluruh negeri.

Tambah beliau, kos dapat dijimatkan melalui penjanaan tenaga elektrik dengan teknologi berkenaan seterusnya mengurangkan pelepasan karbon bagi menjaga alam semula jadi.

Sumber : Berita Harian Online