IPOH – Kekurangan pewaris bagi meneruskan legasi permainan gambus mendorong Pertubuhan Seni Warisan Gambus Padang Changkat di Kuala Kangsar menggerakkan usaha mendokumentasikan seni itu dalam bentuk media serta pengarkiban muzik.
Usaha yang melibatkan penerbitan videografi muzik, lagu dan seni tari gambus dalam bentuk fizikal dan digital itu dimulakan sejak tiga tahun lalu bagi menghasilkan bahan terbitan dan rujukan sahih untuk generasi akan datang.
Setiausaha Pertubuhan Seni Warisan Gambus Padang Changkat, Mohd Rafi Jafranee berkata, seni gambus yang dibawa persatuan itu merupakan warisan turun temurun yang menggabungkan permainan muzik, lagu serta tarian.
Menurutnya, muzik gambus biasanya popular dalam masyarakat tempatan apabila sering dipersembahkan dalam majlis keraian dan perkahwinan.
Bagaimanapun, seiring dengan perubahan masa, ramai kalangan generasi pemula serta para penggiat seni ini telah lanjut usia dan ada di antara mereka telah meninggal dunia.
“Sejak generasi ketujuh iaitu pada 1998 sehinggalah kepada generasi ke-12 sekarang, seni warisan gambus ini masih belum dapat diwarisi sepenuhnya kepada anak-anak muda. Setakat ini, pemain alat muzik seperti gambus, marakas, tamburin, seruling dan bongo serta nyanyian masih lagi bergantung kepada kemahiran orang-orang lama.
“Atas sebab inilah kita ambil inisiatif supaya apabila elemen-elemen seni ini didokumentasikan supaya generasi muda dapat melihat, menghargai serta menjadikannya sebagai rujukan untuk dikembangkan pada masa depan,” katanya yang turut menggalakkan golongan belia turut sama terlibat dalam pertubuhan seni gambus.
Tambah Mohd Rafi, keunikan seni warisan gambus yang dibawa pertubuhannya itu kebanyakannya datang dari ciptaan asal generasi pemula sama ada dalam bentuk lagu-lagu dan juga iramanya.
Jelas beliau, lagu seperti Keindahan Kuala Kangsar dan Assalamualaikum diilhamkan daripada persekitaran Bandar Diraja Kuala Kangsar manakala lagu seperti Mahbu Bi Qalbi, Yahya Umar Gan dan Kalam Tu Yahya mendapat sentuhan daripada lagu-lagu Arab.
“Lagu-lagu ini masih segar dan dibawa sehingga kini, cumanya ia tidak pernah dirakam.
“Maka dengan projek dokumentasi ini, setiap lirik lagu dan muzik dapat disusun semula seterusnya disimpan serta dipelihara dengan kaedah betul,” kata Mohd Rafi.
Dalam pada itu, Mohd Rafi menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap kerajaan Perak yang memberi sokongan penuh kepada usaha mendokumentasikan seni gambus termasuk menyalurkan dana sebanyak RM10,000 di bawah Dana Kreatif Perak@Port pada tahun 2021.
Menurutnya, dana tersebut banyak membantu pertubuhannya melaksanakan kerja-kerja lapangan yang setakat ini dalam proses 70 peratus siap.
“Kita harap usaha dilakukan ini dapat menjamin serta melindungi warisan kesenian orang-orang lama daripada terus dilupakan,” ujarnya.
Dana Kreatif Perak@Port merupakan skim yang diwujudkan oleh kerajaan Perak bagi membangunkan seni kreatif tempatan dengan memberi keutamaan kepada pengkarya anak-anak Perak serta golongan usahawan dalam bidang itu.
Singkatan ‘Port’ atau ‘People of Remarkable Talent’ dalam jenama skim bantuan itu merupakan entiti peneraju ‘flagship’ yang bertanggungjawab mengetengahkan kebudayaan negeri Perak ke mata masyarakat melalui program-program berkaitan seni, personaliti-personaliti seni serta budaya di dalam dan luar negara.
Malah, usaha pembangunan seni budaya dan kreatif merupakan antara agenda utama dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam segmen Semarak Warisan di bawah Ekonomi Pengalaman yang dicetuskan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber : Sinar Harian Online