A. SIVANESAN (kanan) meninjau tapak projek pembinaan Hospital Seri Iskandar di Bandar Universiti hari ini. – Foto oleh LIYANA RAMLI/KOSMO!
PARIT – Hospital Seri Iskandar yang dibangunkan dengan nilai RM147.8 juta bakal beroperasi sepenuhnya awal tahun 2025.
Perkhidmatan kesihatan yang diluluskan kerajaan di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu bakal memberi manfaat kepada hampir 113,000 penduduk merangkumi 12 mukim di daerah Perak Tengah.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, setakat ini pembinaan projek di atas tapak seluas enam hektar itu telah mencapai 34.6 peratus sejak dimulakan pada Januari 2021.
Menurutnya, perkembangan skop projek merangkumi pembinaan enam blok dan tiga tingkat bersama bangunan sokongan itu positif kerana melangkaui status pencapaian jadual sebenar iaitu 30 peratus.
“Melihat kepada progres kerja ini, saya yakin pembinaan hospital ini dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
“Jangkaan kita bangunan siap pada Oktober tahun depan dan setelah melalui beberapa pemeriksaan untuk kelulusan, maka hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2025,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke tapak pembinaan Hospital Seri Iskandar dekat sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak (Pengurusan), S Velan dan Jurutera Awam Penguasa Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir Ts Syed Zubir Syed Husin.
Sivanesan berkata, hospital berkenaan akan dilengkapi dengan 76 katil dengan kemudahan unit pesakit luar, unit kecemasan, klinik rawatan pakar, pusat rehabilitasi, hemodialisis, rawatan ibu dan anak, wad pesakit bagi dewasa dan kanak-kanak, makmal serta komponen radiologi.
Katanya, kemudahan tempat parkir yang banyak juga disediakan iaitu 532 unit dengan sembilan untuk orang kurang upaya (OKU).
“Sebaik pembinaan ini selesai, perkhidmatan di Hospital Changkat Melintang akan berpindah sepenuhnya ke Hospital Seri Iskandar.
“Bangunan Hospital Changkat Melintang yang sedia ada itu akan diambil alih oleh komponen kesihatan awam yang memerlukan ruang fizikal secara mendesak,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan hospital baharu itu adalah selari dengan pertambahan penduduk yang meningkat secara berterusan di daerah Perak Tengah khususnya bandar Seri Iskandar.
“Bandar Seri Iskandar merupakan pusat pentadbiran daerah Perak Tengah dan antara institusi pengajian sedia ada adalah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Profesional Mara (KPM).
“Justeru pertambahan penduduk ini sewajarnya disokong dengan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” katanya.
Sumber : Sinar Harian Online