AZIZAH Mat Wazir bersama suaminya, Mohd. Shahriza Zaini pada majlis projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang di Sitiawan, Lumut, Perak. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

LUMUT: Impian sebuah keluarga untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai menerusi program Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang, Sitiawan di sini.

Dengan harga RM70,000 bagi unit rumah kos rendah, Azizah Mat Wazir, 42, gembira dan tidak sabar untuk duduk di rumah sendiri setelah sebelum ini tinggal menyewa bersama suami dan tiga anak mereka.

Dia yang bekerja di sebuah farmasi di Manjung berkata, inisiatif kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Moha­mad yang melaksanakan program mampu milik Rumah Perakku, terbukti membantu golongan B40 sepertinya memiliki rumah.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah beberapa kali memohon pembelian rumah namun tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat kelayakan pinjaman bank.

“Namun semuanya mudah di bawah program Rumah Perakku, hanya dengan sekali permohonan, pinjaman pembelian rumah ini diluluskan.

“Dengan harga rumah macam ini, di mana hendak dapat. Kami sekeluarga sudah lama mengimpikan rumah sendiri dan amat bersyukur kerana akhirnya impian kami tercapai.

“Program Rumah Perakku ini sangat bagus untuk golongan B40 seperti kami, terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu kami memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci projek Rumah Perakku di Taman Pe­rakku Serdang dekat Sitiawan di sini.

Sementara itu, suaminya, Mohd. Shahriza Zaini, 40, yang bekerja sendiri berkata, urusan untuk membeli rumah di bawah program Rumah Perakku sangat mudah terutama daripada pihak bank yang banyak membantu ketika proses pinjaman.

“Kelayakan gaji kami memang rendah namun dengan bantuan kerajaan untuk anak negeri Perak, ini memberi kelebihan dan kemudahan pada kami untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Rumah Perakku di Taman Pe­rakku Serdang di sini merupakan projek keempat berjaya disiapkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) tahun ini melibatkan 100 unit kediaman kos rendah dan 347 unit kediaman mampu milik teres setingkat berharga antara RM70,000 hingga RM168,000.

Pembangunan di kawasan seluas 29 ekar dengan kos berjumlah RM55.3 juta itu berjaya disiapkan dalam tempoh 26 bulan, menunjukkan kesungguhan LPHP dan pemaju dalam pelaksanaan projek perumahan.

Program Rumah Perakku antara inisiatif kerajaan negeri untuk rakyat golongan B40 memiliki rumah di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.

Sumber : Utusan Online