Felina (tiga dari kanan) menunjukkan panel-panel solar di Lembah Beriah, Bagan Serai hari ini. – Foto oleh WAT KAMAL ABAS / KOSMO!

BAGAN SERAI – MK Land Holding Berhad menerusi anak syarikatnya, Solar Citra melancarkan operasi komersial Loji Solar Fotovoltaik (PV) berskala 10.95 megawatt (MW), Solar Citra di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif MK Land, Felina Mustapha Kamal berkata, loji solar yang pertama seumpanya di Perak itu dibangunkan di Lembah Beriah dengan keluasan 16 hektar.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada kitaran keempat program Solar Skala Besar 4 (LSS4) yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Ia mempunyai sebanyak 32,000 keping panel solar dan dibangunkan dengan kos keseluruhan sebanyak RM52 juta,” kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Meraikan Pencapaian Operasi Loji Janakuasa Solar Berskala Besar Solar Citra di Lembah Beriah di sini hari ini.

Loji solar tersebut dibangunkan dengan kerjasama penyedia penyelesaian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), Solarvest Holdings Berhad serta pengeluar peranti penyongsang solar, GoodWe (Jiangsi) Power Supply Technology Co., Ltd (GoodWe).

Mengulas lanjut, Felina berkata, loji itu akan membekalkan tenaga elektrik sebanyak 10.95MW kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 25 tahun.

Menurutnya juga, berhubung kejayaan itu, Solar Citra akan membuka sebuah lagi loji solar di Kulim, Kedah untuk membekalkankan tenaga kepada pengusaha perindustrian yang memerlukan.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan membangunkan sebuah lagi loji tenaga solar di Kulim dengan keluasan 53 hektar berskala 30MW. Tenaga solar itu akan dibekalkan kepada pengusaha perindustrian yang memerlukannya,” katanya.

Sumber : Kosmo Online