Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan bertitah ketika mempengerusikan Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-172 semasa berangkat tiba ke Istiadat Penganugerahan Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah hari ini. Foto BERNAMA

IPOH: Kestabilan negara akan terjejas sekali gus menjejaskan usaha pembangunan dan ekonomi jika isu menyentuh agama, raja dan kaum (3R) dibiarkan berlarutan dengan ia terus disensasikan serta dipolitikkan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, justeru usaha preventif bagi menghindarkan perkara itu daripada berlarutan wajib dirintis dan langkah tegas membendungnya perlu dilaksanakan.

Titah Sultan Perak, Ahli Dewan Negara dan Orang Besar Jajahan (OBJ) hendaklah berperanan proaktif membantu usaha preventif dan membendungnya termasuk dengan mendampingi Jawatankuasa dan pegawai masjid, selain sering mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing untuk berusaha ke arah menyatupadukan rakyat.

Sultan Nazrin bertitah, perkara menyentuh 3R yang disensasikan hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan baginda serta mendapatkan nasihat baginda terlebih dahulu.

“Jika berlaku (3R), hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan beta dan mendapatkan nasihat beta jika perlu dilaporkan kepada pihak-pihak berkuasa dan badan perundangan,” titah baginda ketika berkenan hadir ke Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke -172, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Titah baginda lagi, generasi remaja semakin menjadi komponen terbesar rakyat di negara ini dan sehubungan itu generasi muda wajib diberikan bimbingan untuk menjadi warga berharga kepada negara termasuk dengan memainkan peranan di sekolah.

Titah Sultan Nazrin, justeru semua OBJ dikehendaki mendampingi diri dengan warga pendidik dan memberi masa menghadiri program kokurikulum di sekolah, membantu usaha menyemaikan semangat kesetiaan kepada raja dan negara, di samping membantu usaha memupuk perpaduan kaum.

Sumber : Berita Harian Online