PADANG RENGAS – Program Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita Negeri Perak (PROKiS) yang diperkenalkan kerajaan negeri berjaya membantu pelajar yang berhadapan dengan isu kemiskinan haid.

Kemiskinan haid merujuk individu wanita yang tidak mampu memiliki tuala wanita dan produk kebersihan disebabkan faktor kewangan dan penerima PROKiS merupakan remaja perempuan dan wanita berumur di antara 12 hingga 45 tahun daripada kategori B40.

Program di bawah Sejahtera Sosial, Pelan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad itu telah membantu kira-kira 120 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini, mendalami ilmu pengurusan haid.

Guru Geografi, Noor Hazirah Hamdan berkata, PROKiS bukan menumpukan kepada pemberian kit sebaliknya ia menyelitkan elemen advokasi dan pendidikan berkaitan kebersihan dan keselamatan diri.

“Pengalaman saya berhadapan dengan pelajar ini, mereka tidak tahu kiraan kitaran haid hingga tidak menyimpan sanitari dalam beg sebagai persediaan.

“Waktu itulah berlaku insiden ‘bocor’ dan sebagainya. Kebanyakan pelajar daripada keluarga B40 tidak ada wang untuk beli tuala wanita, hanya beli bila perlu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurut beliau, pihak sekolah telah menubuhkan Jawatankuasa Pengelola PROKiS yang diselaras Pengetua, Solehah Baharon bagi menangani isu-isu berkaitan.

“Selepas dua bulan kita laksanakan pemberian PROKiS, kita lihat pelajar dapat menguruskan tuala wanita dengan baik, tidak membuang di tempat tidak sepatutnya.

“Selain itu, pelajar juga kurang meminta sanitari daripada guru kerana mereka mula sedar dan bersedia kehadiran haid. Saya percaya ia membantu pelajar menjaga kebersihan sistem produktif diri mereka sendiri,” katanya.

Noor Hazirah berkata, pemberian PROKiS ini wajar diteruskan terutama melibatkan pelajar di kawasan luar bandar yang masih malu berhadapan isu kemiskinan haid ini.

“Kit tersebut mengandungi tuala wanita pakai buang, tuala wanita guna semula, risalah pendidikan haid, tuala kecil dan pembersih kewanitaan.

“Pemberian tuala wanita guna semula bagaimanapun dilihat tidak praktikal kerana pelajar tidak pandai menggunakannya hinggakan ada menyerahkan semula kepada guru. Mungkin perkara itu boleh dilihat semula bagi mengelakkan pembaziran,” katanya.

Tambah beliau, cadangan meletakkan mesin layan diri sanitari di setiap sekolah juga boleh membantu dalam pengurusan haid pelajar.

Sumber : Sinar Harian Online