MOHD Zolkafly Harun (tengah) bersama penerima Agropreneur Muda Fasa 1 2023 MARDI Perak pada majlis pelancaran empat varieti baharu benih kelapa di Bagan Datuk. – UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

BAGAN DATUK: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhasrat menjadikan Perak sebagai hub penanaman bawang merah tanah rendah di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata usaha itu akan dapat direalisasikan menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang memiliki kawasan tanah yang luas.

“Pada masa ini MARDI telah berjaya menghasilkan varieti bawang merah sesuai untuk tanah rendah, dan kita telah berikan kepada beberapa petani.

“Menerusi kerjasama antara MARDI dan PPPNP pula, kita telah memperluas tanaman itu di Perak dan buat usahasama dalam masa terdekat untuk melaksanakan projek perintis di negeri ini,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran empat anak benih kelapa hibrid baharu di Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bagan Datuk di sini semalam.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

Menurut Mohamad Zabawi, PPPNP akan menentukan di mana lokasi sesuai untuk melaksanakan projek penanaman bawang merah berskala besar itu.

Beliau memaklumkan projek tersebut dijangka boleh menghasilkan 30 tan metrik bawang setahun dengan tempoh penanaman yang tidak lama iaitu tiga hingga empat bulan sahaja untuk satu musim.

Jelasnya, ketika ini pihaknya sudah menyerahkan benih bawang itu kepada beberapa petani di Bachok، Kelantan, dan di Banting, Selangor, untuk penanaman di kawasan tidak luas iaitu antara 0.4 hingga 0.8 hektar, manakala Perak menjadi perintis penanaman secara besar-besaran.

“Ketika ini, hampir 100 peratus bawang merah yang dijual di pasaran tempatan adalah diimport dari luar negara khususnya dari India dan Thailand.

“Alhamdulillah kita sudah boleh menghasilkan sendiri bawang di tanah rendah,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online