Perak Corp Bhd

KUALA LUMPUR: Perak Corp Bhd memeterai perjanjian tambahan (SA) untuk perjanjian jual beli (SPA) dengan Makmur Impian Property Sdn Bhd (MIP) berkaitan penjualan dua bidang tanah di Hulu Bernam Timor, Perak.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Perak Corp berkata di bawah terma utama baharu SA SPA, pihaknya dan MIP bersetuju untuk meminda pertimbangan awal bagi cadangan penjualan sebanyak RM24.97 juta kepada RM23.25 juta.

Terdahulu, SPA adalah sebahagian daripada urus niaga yang ditetapkan di bawah perjanjian usaha sama pada 10 September 2019 antara Perak Corp dan ARX-YSC Sdn Bhd (ARX).

Oleh itu, pertimbangan yang disemak semula dibuat selepas ditolak baki bahagian ARX sebanyak RM1.71 juta.

Katanya, pertimbangan yang disemak semula untuk cadangan penjualan itu dicapai atas dasar ‘kesediaan pembeli-kesediaan penjual’, walaupun nilai pasaran tanah itu sebanyak RM31.85 juta.

Menurut Perak Corp, berdasarkan syarikat diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah PN17, cadangan penjualan itu memberi ruang kepada syarikat untuk mengumpul dana untuk disalurkan kepada operasi perniagaan kumpulan yang akan meningkatkan kedudukan aliran tunai kumpulan secara keseluruhan selain mengukuhkan kedudukan kewangannya sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula.

“Cadangan penjualan itu adalah langkah sementara untuk meningkatkan hasil tunai yang diperlukan untuk pelan penyusunan semula perniagaan kumpulan, yang masih dalam peringkat dimuktamadkan pada tarikh pengumuman ini,” katanya.

Cadangan penjualan itu dijangka menjana anggaran keuntungan bersih sebanyak RM8.3 juta di peringkat syarikat dan kumpulan, katanya.

Sumber : Berita Harian Online